Leka sambut hari jadi, 21 ditahan, dikompaun

0
1

POLIS menahan 21 individu termasuk tujuh wanita kerana berpesta menyambut hari jadi di sebuah pusat hiburan di tingkat empat Kompleks Asia City di Kota Kinabalu.

Kesemua mereka dikesan melakukan perbuatan itu dalam Operasi Khas Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kira-kira jam 10 malam tadi.

Operasi itu dilaksanakan susulan pemantauan Pasukan Pematuhan Khas daripada cawangan jenayah, narkotik dan jenayah pemerdagangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata ketika serbuan, semua suspek sedang leka berhibur di sebuah bilik di pusat hiburan itu.

“Polis ada sedikit halangan untuk masuk ke dalam bilik berkenaan kerana mereka mengunci pintu dari dalam dan ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Tetapi kita berjaya memecah pintu dan masuk serta menahan mereka. Hasil pemeriksaan, didapati 21 individu iaitu 14 lelaki dan tujuh wanita sedang berhibur di satu bilik di tingkat empat,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, kesemua mereka yang berusia 21 hingga 35 tahun termasuk pemilik pusat hiburan ditahan dan dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) sekatan pergerakan penuh PKP 3.0.

“Pemilik premis dikompaun RM10,000 kerana melanggar SOP iaitu beroperasi dalam tempoh sekatan pergerakan penuh PKP, manakala 17 lagi dikompaun kerana berada di tempat hiburan dalam tempoh PKP dan didenda RM1,500 setiap seorang.

“Tiga lagi warga asing ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya kepada awam, yang boleh dipenjara enam tahun atau didenda atau kedua-duaanya,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati empat lelaki dan empat wanita positif dan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, lesen pusat hiburan itu tamat tempoh sejak 2018,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here