Sidang media KPM sekadar taklimat pengurusan, tidak banyak agenda baru

0
1
Dr Anuar Ahmad

SIDANG Media Menteri Kanan Pendidikan disifatkan lebih bersifat taklimat pengurusan sahaja serta berkisar tentang penjadualan dan tarikh persekolahan.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata semua input tersebut penting, namun ibu bapa dan masyarakat perlukan lebih sekadar input tarikh dan jadual.

Katanya, tidak banyak agenda baharu khususnya apakah perancangan dan program Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengurangkan keciciran pembelajaran anak-anak lalu bagaimana usaha KPM untuk membantu guru.

Beliau berkata persoalan lebih besar nampaknya masih tergantung-gantung, misalnya:

  1. Bolehkah calon SPM 2021 dan guru-guru tingkatan lima diberi keutamaan dapatkan vaksin supaya mereka boleh hadir ke sekolah semula untuk sesi pembelajaran bersemuka bagi persiapan menghadapi SPM? Kumpulan ini adalah keutamaan jangka pendek KPM.
  2. Apakah ada strategi untuk segerakan agihan 150,000 peranti kepada pelajar B40? Sudah hampir dua tahun PdPR dilaksanakan, semakin ramai pelajar khususnya dari keluarga B40 yang keciciran pembelajaran. Apakah ada skim pinjaman mudah, baucar atau subsidi untuk ibu bapa beli komputer?
  3. Apakah ada program khas bagi penambahbaikan kursus dan latihan guru berkaitan PdPR? Berapakah bajet yang telah diperuntukkan oleh KPM untuk tujuan kursus dan latihan guru untuk PdPR?
  4. Mengapa tidak diwujudkan segera sebuah Pusat Inovasi dan Pembangunan Bahan Pengajaran dan Pembelajaran untuk PdPR dan bahan-bahan ini disebarluaskan kepada para guru?
  5. Mengapa tidak dikongsi kejayaan sekolah contoh PdPR? PIBG contoh PdPR? Guru contoh PdPR? Pengetua contoh PdPR? PPD contoh PdPR? Ibu bapa contoh PdPR? Mengapa KPM tidak kongsi dan angkat contoh-contoh yang telah berjaya laksanakan PdPR untuk dicontohi guru-guru lain dan diraikan oleh masyarakat?

“Nampaknya sidang media yang ditunggu-tunggu ini tiada agenda yang baru kecuali perkongsian beberapa tarikh dan jadual penting.

“Apapun kita bersyukur dan berterima kasih atas usaha baik pihak KPM kerana adakan sidang media,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here