POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesan penyebaran mesej pada media sosial yang mengaitkan Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Acryl Sani dengan penghasut antivaksin.
Superintendan Komunikasi Korporat Urus Setia KPN, PDRM Bukit Aman, Superintendan Skandaguru Anandan berkata kandungan mesej yang disebarkan itu palsu.
“PDRM telah mengesan sebaran mesej bertajuk ‘Sila Laporkan Penghasut Antivaksin’ di media sosial yang didakwa daripada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Panglima Acryl Sani Abdullah Sani.
“Ia meminta kerjasama masyarakat melaporkan “Penghasut Antivaksin” melalui portal https://ereporting.rmp.gov.my/register.aspx.
“PDRM mengesahkan bahawa mesej berkenaan adalah palsu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Skandaguru menjelaskan, portal e-reporting yang dinyatakan dalam mesej itu adalah perkhidmatan projek perintis PDRM di beberapa lokasi.
Ia khusus untuk orang awam membuat laporan polis secara dalam talian bagi kes-kes yang tidak melibatkan jenayah atau tidak memerlukan siasatan lanjut.
Susulan itu, beliau meminta kerjasama orang tidak menyebarkan mesej palsu tersebut dan berharap mereka tidak mudah terpedaya dengan maklumat yang tidak disahkan. – Malaysiapost

