Nak sumbang makanan pada frontliners? Apa kata beli dari peniaga kecil

0
2

Nurul Huda Abhar

PENIAGA kecil makanan yang terkesan akibat sekatan pergerakan penuh atau ‘lockdown’ memohon pihak berkuasa membantu mempromosi jualan mereka kepada orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada golongan terkesan atau barisan hadapan.

Pemilik Burger Super Girl di Jalan Masjid India di ibu negara dikenali sebagai Rubi, 34, berkata walaupun kerajaan membenarkan peniaga kecil sepertinya beroperasi ketika lockdown, namun mereka kerugian kerana kurang pelanggan.

Antara lain katanya, walaupun boleh beroperasi tetapi pelanggan amat sedikit, tambahan masa berniaga dibenarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hanya empat jam mengikut lesen yang dipohon.

“Apa kata pihak berwajib bantu promosi peniaga kecil macam kami. Daripada beli makanan dalam jumlah banyak di kedai makanan segera, lebih baik beli daripada kami. Sekurang-kurangnya boleh bantu kami.

“Saya sangat sedih bila lihat di media sosial orang ramai beli banyak makanan dari syarikat besar. Kami susah, nak bayar sewa rumah lagi. Tolong beli daripada peniaga kecil, boleh kami gunakan untuk teruskan hidup,” katanya kepada Malaysiapost.

Sementara itu, sebahagian peniaga dan penjaja kecil yang lain mengakui menarik nafas lega selepas dibenarkan beroperasi sepanjang ‘lockdown’ ketika ini

Parameswari Ponnusamy, 61, yang berniaga kerepek dan muruku di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) berkata, peluang diberikan kerajaan kepada penjaja tepi jalan adalah tepat ketika ini.

Perniagaan muruku dan kerepek diusakan Parameswari Ponnusamy

Menurutnya, meskipun pelanggan tidak begitu ramai, berikutan sekatan pergerakan tetapi sumber pendapatannya masih ada setiap hari.

“Saya rasa bagus kerajaan bagi penjaja kecil macam kami untuk buka kedai. Barangan jualan saya tidak boleh disimpan terlalu lama nanti rosak.

“Sekarang pelanggan kurang sikit tapi tetap ada. Saya ada pelanggan tetap, kalau kedai tutup terus, saya rugi,” katanya yang kerugian ribuan ringgit selepas bahan jualan terpaksa dibuang semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lalu.

Perkara sama disuarakan Muhd Zulhilmi, 25, yang berniaga aneka jenis kuih bersama ibunya Fatimah Ali, 65, di Jalan Masjid Jamek.

Perniagaan kuih diusahakan Muhd Zulhilmi bersama ibunya

Beliau bersama ibunya berniaga seperti biasa walaupun pelanggan sangat sedikit berbanding sebelum sekatan pergerakan penuh dilaksanakan.

“Dulu hasil jualan boleh dapat sekitar RM500 sehari jika pelanggan ramai. Sekarang walaupun kerajaan bagi berniaga kami hanya dapat RM100 sehari.

“Kadang-kadang kami tutup awal sebab tiada orang datang. Kita pun tahu sekarang ramai duduk rumah sebab kes Covid-19 makin naik. Kami juga perlu cari duit jadi buka juga kedai macam biasa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here