Feri uzur, bocor punca condong, hampir tenggelam

0
2

KEADAAN Feri Pulau Pinang di Limbungan Bagan Dalam yang uzur dengan terdapat beberapa lubang kebocoran menyebabkan air masuk memenuhi bilik enjin, sekali gus condong ke dalam laut.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng berkata pihaknya dan Penang Port Sdn Bhd telah mengambil tindakan sesuai bagi menangani masalah tersebut dengan segera.

Katanya, tindakan mengepam air keluar telah dilaksanakan bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dibuat.

“Kerja-kerja pembaikan yang relevan akan dijalankan dan memastikan feri akan kembali kepada keadaan asal.

“Feri Pulau Pinang sudah uzur dan tidak dapat beroperasi. Oleh itu, feri tersebut sudah lama tidak berkhidmat membawa penumpang atau kenderaan lain,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu semalam tular sebuah Feri Pulau Pinang yang tidak lagi beroperasi dimasuki air dan kelihatan contoh serta hampir tenggelam.

Berikutan itu orang ramai khususnya warga Pulau Pinang yang mempunyai nostalgia menggunakan perkhidmatan feri tersebut meminta pihak yang berkenaan mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak pengangkutan air tersebut tenggelam.

Mengulas lanjut, Teik Cheng berkata Feri Pulau Pinang kini ditempatkan di Limbungan Bagan Dalam, sementara Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang memuktamadkan urusan pajakan feri tersebut kepada pembida yang berjaya.

“Pajakan Feri Pulau Pinang adalah untuk dijadikan sebagai muzium dan akan ditempatkan di Tanjung City Marina kelak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here