Pelik, semalam kereta merah hari ini kereta ungu pula

0
2

DALAM tempoh 24 jam, dua kereta telah terjunam di longkang besar yang sama di Kampung Sungai Rinting D di Masai, Johor Bahru.

Dua kejadian berasingan itu berlaku di tempat yang sama apabila kes pertama berlaku semalam, manakala yang kedua petang tadi, lapor Harian Metro.

Penduduk Kampung Sungai Rinting D, Tasliman Alwee, 47, berkata, kejadian pertama berlaku pada jam 8 pagi dan berulang sekali lagi pada jam 2 petang hari ini.

Menurutnya, dalam kejadian semalam, dia yang berada di rumah terdengar dentuman kuat dari laluan berhampiran sebelum ke lokasi kejadian.

Katanya, dia terkejut apabila mendapati sebuah Perodua Axia warna merah terjunam dalam longkang sebelah laluan berkenaan.

“Tanpa berfikir panjang, saya dan seorang penunggang motosikal membantu mangsa.

“Saya turun ke longkang dan berjaya menyelamatkan mangsa yang juga seorang wanita berusia lingkungan 30-an dan anak perempuannya berusia kira-kira empat tahun.

“Alhamdulillah mereka tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu dan kereta berkenaan juga sudah dialihkan dalam tempoh masa beberapa jam selepas itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tasliman berkata, malangnya pada hari ini kejadian sama berulang apabila sebuah Perodua Kancil pula terjunam di situ.

Menurutnya, seorang wanita mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

“Saya difahamkan wanita berusia lingkungan 30-an itu cedera dan dibawa ke hospital dengan ambulans.

“Tidak pasti punca kejadian itu, sama ada laluan licin atau berbahaya. Kami berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) membina bonggol di lokasi berkenaan bagi memberi amaran kepada pengguna laluan terbabit,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here