CASSAVA lndustry Association Malaysia (CIAM) mengalu-alukan perbahasan Menteri Pertanian dan lndustri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berhubung langkah Food Security Committee Council (FSCC) untuk memastikan kepentingan keselamatan makanan Malaysia, baru-baru ini.
CIAM adalah pertubuhan di bawah kawalan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dengan objektifnya untuk kegunaan tumbuhan cassava pelbagai bidang praktikal di Malaysia mahupun antarabangsa, iaitu sumber makanan manusia (ubi/tepung/kanji), perindustrian (terbiodegradasi/etanol), farmaseutikal dan makanan ternakan.
Setiausaha Agung CIAM, How Ying Chong berkata tumbuhan Cassava dibahagikan kepada dua jenis utama iaitu gred makanan dan industri.
Beliau berkata, perbezaan kedua-duanya adalah dari segi rasa, hasil berpotensi (potential yield), jenis varieti, pemakanan (nutrition) dan tempoh penanaman.
“Cassava berasal dari Brazil, kira-kira 4,000 jenis varieti di dunia. Nigeria ialah penanam Cassava terbesar di dunia ketika ini.
“Thailand adalah pengeluar pati ubi kayu (Cassava Starch) terbesar di dunia iaitu 33 juta tan metrik/tahun), lndonesia (20 juta tan metrik/tahun) Vietnam (12 juta tan metrik/tahun), Cambodia (2 juta tan metrik/tahun), Laos (500,000 tan metrik/tahun) dan Malaysia pengimport bersih (net importer),” katanya menerusi kenyataan.
Ying Chong berkata tumbuhan cassava jatuh di bawah spesies hutan hujan tropika yang sesuai ditanam di Malaysia dengan tempoh penanaman lapan bulan, ketinggian pokok 2.5-5 meter, penjarakan satu meter, hasil berpotensi antara 25-70 tan/hektar serta bilangan pokok 10,000/hektar.
Katanya, komoditi cassava dianugerahkan sebagai raja kanji sedunia (King of Starch) dan krop tunai (Cash Crop) di bidang perladangan terkini.
“Di Malaysia, sejak tahun 2005, hasil berpotensi Cassava gred makanan terhad dengan 2.5 tan/hektar, tetapi dilanjutkan sehingga 25 tan/hektar sekarang dengan kesungguhan badan pertanian Malaysia.
“Selain itu, cara penanaman Cassava Moden, dipermudahkan segala urusan R & D terkini,” katanya.
Berikutan itu katanya, harga rujukan pasaran bertambah antara RM350 bagi 1,000/mt Ex-farm (gred makanan vs industri).
Katanya, oleh kerana kepentingan hasil berpotensi Cassava amat tinggi, ia tentunya akan memanfaat serta menambah pendapatan golongan petani menerusi pelbagai aktiviti berkaitan tanaman itu. – Malaysiapost

