27 PPR, Perumahan Awam di KL mulakan saringan Komuniti Bersasar Covid-19

0
1

SEBANYAK 27 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang disenarai untuk peringkat pertama program saringan Komuniti Bersasar Covid-19 Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) di Kuala Lumpur bermula hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata lokasi lain termasuk 36 PPR/PA DBKL dan kampung-kampung tradisi sedang dikenal pasti bagi fasa saringan yang seterusnya.

Katanya, program saringan itu adalah usaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dengan kerjasama DBKL, agensi kerajaan lain dan pihak swasta dalam memastikan langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 dalam kalangan komuniti diambil segera.

“Program saringan hari ini melibatkan empat lokasi terpilih iaitu PA Seri Sabah 3A dan 3B, PA Seri Pulau Pinang dan PA Seri Kota.

“Saringan ini dikendalikan oleh satu pasukan terdiri doktor bertauliah daripada Jabatan Kesihatan Negeri dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) di setiap PPR/PA dengan kapasiti 200 hingga 300 orang disaring sehari,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Annuar berkata, bagi memastikan pelaksanaan program saringan itu berjalan lancar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, pergerakan penduduk dikawal ketat oleh polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan RELA dengan memastikan penjarakan fizikal dipatuhi sepanjang masa.

Katanya, dalam memastikan kelancaran proses saringan, pasukan sukarelawan turut membantu dengan menekankan SOP ketat iaitu hanya membenarkan kanak-kanak berumur 2 hingga 12 tahun untuk membuat saringan ditemani ibu bapa atau penjaga.

“Saringan ujian Covid-19 ini tidak dibenarkan kepada pemakai gelang tangan merah jambu, mereka yang mempunyai simptom seperti demam, batuk, selsema dan berkaitan serta hanya dibenarkan hadir ke Peyabat Kesihatan Daerah atau Klinik Kesihatan terdekat untuk ujian saringan.

“Selepas proses saringan selesai, individu yang telah disaring perlu terus pulang ke rumah sehingga keputusan dimaklumkan melalui SMS dan WhatsApp oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bagi individu yang mendapat keputusan positif perlu bertanggungjawab untuk kekal di rumah sehingga pihak KKM menghubungi mereka,” katanya.

Beliau berkata, KWP turut merancang inisiatif tambahan dengan mewujudkan pusat ujian saringan komuniti Covid-19 jenis RTK-Ag percuma untuk warga kota dalam usaha memerangi pandemik ini.

“Pelaksanaan program ii merupakan antara tujuh inisiatif Wilayah Cakna 5.0 bagi mengesan dan mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan komuniti PPR/PA DBKL dan kampung tradisi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here