KADAR vaksinasi dos pertama vaksin Covid-19 di Malaysia adalah antara yang tertinggi di Asia Tenggara ketika ini, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Menurutnya, pencapaian itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana bekalan vaksin adalah di luar kawalan kerajaan dan Malaysia perlu bersaing dengan negara lain serta bergantung kepada pengeluar vaksin untuk mendapatkan bekalan.
“Bagaimanapun, hasil persediaan awal kerajaan, kita berjaya menjamin bekalan vaksin mencukupi malah melebihi daripada apa yang disasarkan sebelum ini.
“Sehingga kini kita telah memberikan lebih tiga juta suntikan dos vaksin dengan lebih dua juta telah menerima satu suntikan dos dan kini kadar vaksinasi dos pertama Malaysia antara tertinggi di Asia Tenggara,” katanya dalam video ucapan mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hari ini.
Beliau berkata dalam tempoh terdekat, negara diberi jaminan lebih banyak bekalan vaksin akan tiba dan pihaknya telah mengarahkan Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin memastikan bilangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ditambah di seluruh negara untuk mempercepat dan mempermudahkan pemberian vaksin.
“Insha-Allah sasaran kita supaya 80 peratus populasi Malaysia diberikan suntikan vaksin sebelum akhir tahun ini akan tercapai, namun begitu saya ingin mengingatkan ini hanya dapat dicapai dengan kerjasama anda semua,” katanya.
Muhyiddin berkata, pada masa ini lebih 280 PPV beroperasi di seluruh negara dan dijangka lebih 300 lagi akan dibuka secepat mungkin.
Selain itu katanya, 105 Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dewan-dewan awam, universiti serta kompleks sukan dan stadium tertutup telah pun beroperasi sebagai PPV.
“Beberapa PPV mega juga telah diwujudkan dan akan terus ditambah dalam masa terdekat terutama di kawasan kepadatan penduduk yang tinggi seperti Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak, selari dengan penambahan stok vaksin
“Saya sendiri sudah melawat beberapa PPV termasuk dua PPV mega di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MIETC),” katanya.
Menurutnya, bagi mempercepatkan lagi pemberian vaksin, kerajaan juga telah melibatkan pusat dan klinik perubatan swasta (GP) dalam PICK ini
“Pada penghujung bulan ini sebanyak 1,000 klinik perubatan swasta atau PPV GP disasarkan akan terlibat dalam PICK.
“Bagi memastikan tiada yang ketinggalan dalam program vaksinasi ini kerajaan telah mewujudkan unit vaksinasi bergerak yang pergi ke kampung-kampung dan pedalaman untuk memudahkan proses vaksinasi,” katanya.
Katanya lagi, setakat 3 Jun lalu sembilan negeri telah mengaktifkan unit vaksinasi bergerak antaranya di daerah Tenom dan Kinabatangan di Sabah; Gua Musang dan Pasir Puteh, di Kelantan dan Hilir Perak serta Kuala Kangsar di Perak
Beliau berkata, di Pulau Pinang pula kerajaan telah memulakan perkhidmatan unit vaksinasi bergerak di lapan rumah jagaan orang tua setiap hari, manakala di Selangor setiap daerah mempunyai unit vaksinasi bergerak sendiri.
“Kerajaan juga membuka PPV khususnya bagi golongan OKU seperti Persatuan Orang Buta Malaysia di Brickfields bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
“Kementerian Wilayah Persekutuan telah memperkenalkan trak vaksin bergerak juga dengan sasaran untuk memberi vaksin dos lengkap kepada 400,000 penduduk terutama di kawasan padat seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Pusat Transit Gelandangan,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan kapasiti itu diharap mampu memberi vaksin pada lebih ramai penduduk seterusnya mempercepat usaha mencapai sasaran ditetapkan. – Malaysiapost
Foto Kredit: FB/Muhyiddin Yassin

