Pendaftaran automatik cepatkan vaksinasi Covid-19 – PM

0
1

KERAJAAN sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan proses pendaftaran secara automatik bagi memastikan seramai mungkin rakyat divaksinasi menjelang akhir tahun ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau mendengar keluhan rakyat termasuk penduduk luar bandar di kampung-kampung dan pedalaman terutama warga emas yang sukar membuat pendaftaran dan menerima vaksin.

“Saya telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk lihat semula proses pendaftaran vaksin agar dapat dipermudahkan lagi.

“Ini termasuk cadangan melaksanakan proses pendaftaran secara automatik bagi memastikan seramai mungkin rakyat kita divaksinasi,” katanya dalam video ucapan perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dikongsi di Facebooknya hari ini.

Muhyiddin berkata, pihaknya juga ambil maklum keresahan ramai yang masih belum menerima janji temu vaksin masing-masing.

“Oleh itu saya mengarahkan JKJAV untuk memastikan mereka yang telah mendaftar melalui semua platform mendapat tarikh janji temu secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini hampir 13 juta individu telah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dan ini hanya 51 peratus daripada jumlah keseluruhan yang layak menerima vaksin

“Saya telah arahkan semua kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat agar menggunakan semua aset bagi mempermudahkan rakyat mendapat vaksin,” katanya.

Menurutnya, PICK yang telah melepasi 100 hari pelaksanaannya sejak fasa pertama bermula 24 Februari lalu berjaya dilaksanakan malah melepasi sasaran ditetapkan.

“Pada permulaan program ini kira-kira 5,000 hingga 8,000 suntikan vaksin diberi setiap hari. Kini kita berjaya meningkatkan suntikan vaksin harian sekitar, 100,000 dos sehari.

“Untuk tempoh dua bulan akan datang kita akan menerima sekitar 16 juta dos vaksin Covid-19 dan dengan pertambahan bekalan vaksin ini kerajaan menyasarkan kadar vaksinasi harian mencecah 150,000 dos sehari bulan ini dan angka ini akan terus meningkat pada hari yang ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan komited dan akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan teratur.

“Saya akui terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki dan saya memberi komitmen bahawa kerajaan akan sentiasa menambahbaik program ini.

“Sebagai kerajaan yang prihatin kita sentiasa mendengar keluhan dan maklum balas rakyat dan akan meningkatkan keupayaan dari segi perancangan kapasiti dan tenaga kerja bagi mencapai objektif utama sasaran kita iaitu imuniti berkelompok,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here