Polis tahan lelaki lari pemeriksaan, temui dadah dalam kereta

0
1

TINDAKAN seorang lelaki cuba melarikan diri dengan memandu kereta secara melulu gagal apabila berjaya ditahan selepas 20 minit dikejar polis dalam kejadian di Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata ketika kejadian sepasukan anggota polis dari Cawangan Kereta Peronda (MPV) membuat penugasan ‘snapcheck’ di Jalan 18/16B, kira-kira jam 6.40 petang.

Beliau berkata, ketika melakukan rondaan anggota polis kemudian menahan sebuah kereta Proton Saga dipandu lelaki berusia 34 tahun berkenaan.

“Ketika mahu melakukan pemeriksaan, suspek bertindak memecut kereta dinaikinya untuk melarikan diri hingga hampir melanggar orang awam yang berada di lokasi berkenaan.

“Anggota polis mengejar kereta suspek kira-kira 20 minit sebelum dia berjaya ditahan di hadapan sebuah bank di Pekan Lama Petaling Jaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Fakhrudin berkata, suspek enggan keluar dari kenderaan dengan mengunci pintu menyebabkan polis terpaksa memecahkan cermin tingkap kereta berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan.

Menurutnya, ketika menangkap suspek, dua anggota polis cedera ringan di tangan kiri dan menerima rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Pemeriksaan di dalam kereta suspek menemui satu tiub straw disyaki dadah jenis heroin seberat 0.30 gram dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis morfin,” katanya.

Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah serta lapan rekod dadah.

“Suspek direman tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here