Kerajaan Negeri, hospital swasta boleh beli vaksin sendiri – KJ

0
1
Botol Vaksin AstraZaneca di PWTC.

KERAJAAN Persekutuan tidak menghalang mana-mana kerajaan negeri atau hospital swasta mahu membeli sendiri vaksin Covid-19.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin, berkata namun pembelian itu perlu mengikut beberapa syarat selain mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Beliau berkata, sekiranya pihak berkaitan mahu membeli daripada pembekal sama yang membekalkan vaksin kepada Kerajaan Persekutuan, mereka perlu menunggu sehingga program vaksinasi selesai terlebih dahulu.

“Misalnya mahu beli Sinovac, bila program sudah selesai, kita tiada masalah tetapi bekalan kepada Kerajaan Persekutuan perlu diselesaikan dahulu, selepas itu barulah mereka boleh beli.

“Kalau mereka hendak beli daripada pembekal lain yang bukan menjadi pembekal kepada Kerajaan Persekutuan, itu pun tidak menjadi halangan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau persediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Spice Arena hari ini.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, terdapat vaksin lain yang mendapat kelulusan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tetapi tidak dibeli oleh Kerajaan Persekutuan.

Namun sekiranya ada pihak atau kerajaan negeri mahu berunding dan membeli vaksin itu, mereka perlu mendaftar dengan NPRA.

“Ada vaksin lain sudah mendapat kelulusan WHO seperti Sinopham dan Moderna yang tidak dibeli Kerajaan Persekutuan, tetapi jika kerajaan negeri hendak bawa masuk vaksin jenis itu, boleh, cuma perlu mendaftar dengan NPRA.

“Memang tiada sekatan cuma itulah undang-undang kita, begitu juga jika ada hospital swasta yang mahu beli, perlu mengikut langkah yang sama,” katanya.

Setakat ini, tiga jenis vaksin yang sudah mendapat kelulusan NPRA adalah Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here