Ayuh Harimau Malaya! Berjuanglah hingga ke titisan keringat terakhir

0
1

MALAM ini skuad Harimau Malaya bakal berhadapan cabaran getir menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam misi melayakkan diri ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022.

Pastinya rakyat Malaysia khususnya para peminat bolasepak negara menuntut skuad asuhan Tan Cheng Hoe itu berjuang bermati-matian sekali gus memastikan kemenangan milik negara.

Memiliki barisan lebih baik, selain ramuan pemain kacukan mahu pun neutralisasi berkualiti bakal membuat UAE gentar berdepan Harimau Malaya di gelanggang mereka.

Keyakinan itu disuarakan pemain sayap naturalisasi, Mohamadou Sumareh menjelang aksi Kumpulan G di Stadium Zabeel, Dubai malam ini.

Sumareh mengakui mentaliti Harimau Malaya berada di tahap terbaik dan bersedia memberi kejutan sekali lagi seperti mana dilakukan di Stadium Nasional Bukit Jalil, September 2019.

“Saya percaya dengan kualiti yang dimiliki pasukan mampu mencipta sesuatu yang istimewa kerana dalam pertemuan terakhir di Bukit Jalil, kami patut boleh menang walaupun tewas 1-2.

“Kami kekal dengan mentaliti sama dan setiap pemain turun untuk memburu kemenangan supaya tempat lebih terjamin untuk layak ke peringkat seterusnya.

“Secara peribadi, saya kini berada pada prestasi terbaik meskipun dibelenggu kecederaan sebelum ini. Dua aksi persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain membantu mendapat rentak di atas padang dan harap boleh sumbangkan sesuatu untuk pasukan,” katanya.

Pemain kelahiran Gambia itu percaya, kehadiran pemain baharu seperti Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula dan Dion Cools menambah kekuatan pasukan.

“Di atas kertas, UAE menjadi pilihan kerana mereka ada pemain-pemain berkualiti selain tonggak naturalisasi yang perlu diberi perhatian, namun Malaysia juga berbeza sejak kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dengan kehadiran Liridon, De Paula dan Cools,” katanya.

Sementara itu jurulatih, Tan Cheng Hoe menggesa pemainnya lebih cepat menyekat hantaran pemain tengah UAE, terutama Fabio Lima dan Khalfan Mubarak yang banyak membuka ruang kepada penyerang berbisa mereka, Ali Mabkhout.

“Kebanyakan jaringan datang menerusi kombinasi dia dengan dua pemain naturalisasi baharu, Fabio dan Khalfan yang banyak bagi hantaran.

“Kita harap benteng pertahanan dapat menyekat hantaran lebih awal sebelum sampai ke kaki Ali. Paling penting, bermain sebagai satu pasukan ketika menyerang atau bertahan,” ujarnya.

Buat pasukan Harimau Malaya, selagi hayat di kandung tanah, berjuanglah sehingga ke titisan keringat yang terakhir.

Hanya kemenangan yang diperolehi menjadi penawar kedukaan untuk rakyat Malaysia yang sedang menghadapi situasi mencabar dan tidak menentu akibat pandemik Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here