MENTERI Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin menyambut baik keputusan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) meluluskan vaksin Sinovac bagi vaksinasi Covid-19.
Beliau berkata pengiktirafan global itu meningkatkan lagi keyakinan rakyat kerana Malaysia akan mempunyai bekalan 12 juta dos vaksin tersebut untuk rakyat negara ini.
“Vaksin Sinovac kini diluluskan oleh WHO. Pengiktirafan global ini akan meningkatkan keyakinan kerana 12 juta dos bekalan Sinovac akan memastikan 18 penduduk penduduk kita akan mendapat manfaat daripada vaksin.
“Ia (vaksin Sinovac) selamat dan berkesan,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu menerusi ciapan di Twitter hari ini.
WHO menerusi kenyataan semalam mengesahkan vaksin Sinovac-CoronaVac Covid-19 untuk penggunaan kecemasan dan memberi jaminan ia memenuhi standard antarabangsa untuk keselamatan, keberkesanan dan pembuatan.
Vaksin ini dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal Sinovac yang berpusat di Beijing.
Baru-baru ini, Khairy dilaporkan berkata kerajaan telah mengadakan rundingan semula dengan syarikat pembekal agar penghantaran vaksin dipercepatkan.
Daripada rundingan semula ini, katanya Sinovac akan selesai menghantar keseluruhan tempahan 12 juta dos sebelum akhir Julai. – Malaysiapost

