“KALAU pun hendak marah pada PAS (jangan) sehingga kaitkan dengan kalimah yang membesarkan Allah.”
Demikian tegas Naib Presiden PAS, Idris Ahmad mengulas mengenai gambar dengan tertera tulisan ‘Takebeer’ yang dimuatnaik di Facebook individu bernama Fahmi Reza.
Idris berkata PAS tidak mengajar ahlinya ucap begitu dan pihak yang memuatnaik hantaran berkenaan mungkin gembira kerana ramai yang menyebarkannya.
“Adakah di sana kenyataan PAS yang merestui arak dan pesta arak. Sampai fitnah begitu rupa.
“Di Kelantan dan Terengganu (negeri ditadbir PAS) penjualannya terhad dan terkawal untuk orang bukan Islam sahaja.
“Tak apalah mungkin saudara ingat, saudara muda lagi, lambat lagi hendak mati. Buatlah apa yang patut. Kalau itu yang dianggap boleh menjadi amalan soleh,” tulisnya.
Isu arak hangat diperkatakan susulan laporan kilang arak dibenarkan beroperasi ketika sekatan pergerakan penuh walaupun ia bukan perkhidmatan perlu atau ‘essential services’.
Bagaimanapun semalam Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penutupan semua kilang minuman keras di seluruh negara serta-merta.
Beliau berkata walaupun kebenaran beroperasi diberi kepada kilang-kilang yang berasaskan makanan dan minuman, namun ia hanyalah untuk keperluan asas sahaja.
“Oleh yang demikian, kilang minuman keras tidak termasuk di dalam kategori keperluan asas.
“Sehubungan dengan itu, kerajaan bersetuju supaya semua kilang minuman keras di seluruh negara ditutup serta-merta,” katanya menerusi kenyataan.
Foto Kredit: FB/Idris Ahmad

