Tegas tutup kilang arak, Pemuda PN ucap terima kepada Ismail Sabri

0
1
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

PEMUDA Perikatan Nasional (PN) mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kanan (Keselamatan) atas ketegasan mengarahkan semua kilang arak ditutup sepanjang sekatan pergerakan penuh yang sedang berkuatkuasa ketika ini.

“Terima kasih Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas ketegasan dalam isu ini. Saya dan seluruh umat Islam di Malaysia berterima kasih di atas keprihatinan YB Datuk Seri,” kata Ketua Pemuda PN, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Khairil Nizam yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang bersama Pemuda PN mendesak agar kilang minuman keras ditutup sepanjang tempoh “Total Lockdown”.

“Alhamdulillah. Saya sangat bersyukur dan gembira dengan tindakan pantas kerajaan.

“Melalui isu ini, saya lihat ahli politik serta rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang sudah semakin mempunyai kesedaran dalam isu arak ini dan bersama dengan perjuangan kami,” katanya lagi.

Semalam Ismail Sabri mengumumkan penutupan semua kilang minuman keras di seluruh negara serta-merta..

Beliau berkata walaupun kebenaran beroperasi diberi kepada kilang-kilang yang berasaskan makanan dan minuman, namun ia hanyalah untuk keperluan asas sahaja.

“Oleh yang demikian, kilang minuman keras tidak termasuk di dalam kategori keperluan asas.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan bersetuju supaya semua kilang minuman keras di seluruh negara ditutup serta-merta,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, pelbagai pihak mempersoalkan bagaimana Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan kilang arak di Shah Alam beroperasi ketika sekatan pergerakan penuh yang mula berkuatkuasa hari ini.

Antara yang meminta penjelasan Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali termasuklah pemimpin Umno, Amanah serta PAS kerana ia bukan perkhidmatan perlu atau ‘essential services’.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan kesemua sektor perkilangan ditutup kecuali 12 kategori sahaja yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP 3.0 ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here