EMPAT mangsa termasuk tiga beradik yang hilang ketika mandi di Pantai Gorongon, berhampiran Kampung Contoh di Putatan, Sabah ditemui lemas malam tadi.
Mangsa pertama Norain Amit, 13, ditemui pada jam 8.20 malam sebelum mayat kakaknya, Rafidah Amit, 14, dijumpai kira-kira 40 minit kemudian.
Dua lagi mangsa iaitu Dalang, 17, dan Korais Amit, 8, ditemui kira-kira jam 9.30 malam, tidak jauh dari lokasi mereka dihanyutkan arus, lapor Harian Metro.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik (KKM) yang berada di lokasi kejadian.
Mayat semua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan selanjutnya.
“Berikutan penemuan semua mangsa kejadian ini, operasi mencari dan menyelamat dihentikan serta-merta.
“Bagaimanapun, siasatan akan dijalankan bagi mencari punca sebenar kejadian untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil menambah kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Dalam kejadian jam 5 petang semalam, lapan individu berusia lapan hingga 17 tahun dikatakan pergi ke pantai berkenaan untuk bermandi-manda.
Bagaimanapun, ketika mahu pulang, mereka dikatakan cuba berenang ke tepi pantai namun dipercayai dihanyutkan ombak deras ke kawasan laut dalam.
Akibat kejadian itu, empat daripada mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala empat lagi hilang.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah. – Malaysiapost

