Wanita dipukul suami dibenar pulang, namun masih koma

0
1

JADILAH Nordin, 43, wanita yang bertarung nyawa selepas parah disyaki dipukul suaminya pada 4 Mei lalu, dibenarkan pulang pada Ahad lalu, selepas dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.

Bagaimanapun, Jadilah masih koma dan doktor menasihatkannya dibawa pulang kerana lebih selamat berikutan keadaan pesakit Covid-19 di hospital yang bertambah.

Adiknya, Fazariah, 38, berkata, kakak sulung daripada tujuh beradik itu masih belum sedarkan diri selepas 27 hari dia dirawat di hospital.

“Cuma ketika ini dia tidak lagi menggunakan bantuan alat pernafasan sebaliknya boleh bernafas dengan sendiri.

“Tapi, kakak juga masih tidak boleh bercakap dan dia tidak memberi sebarang tindak balas dari segi pergerakan fizikal apabila kami cuba berkomunikasi dengannya,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Fazariah yang menetap di Sungai Udang, Melaka berkata, kecederaan dialami kakaknya akibat dipukul amat serius.

“Daripada apa yang kami perhatikan terdapat kesan lebam pada bahagian matanya yang mungkin disebabkan ditumbuk. Tulang belakangnya juga ada kesan bengkok.

“Memang sedih melihat dia dalam keadaan terbaring, apatah lagi dia sedang hamil anak pertama,” katanya.

Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila pasukan perubatan memaklumkan kakaknya itu berkemungkinan hilang ingatan selain peluang untuk pulih seperti biasa tipis.

“Ketika ini kakak hanya diberikan susu khas dengan menggunakan saluran tiub,” katanya tidak berputus mendoakan Jahidah dapat kembali pulih,” katanya.

Fazariah berkata, sehingga kini dia dan ahli keluarga tidak mendapat sebarang maklumat mengenai kedudukan lelaki itu yang sedang diburu polis.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban mangsa boleh berbuat menyalurkan bantuan ke akaun bank CIMB Fazariah Nordin 7052698705. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here