Nilam Oshman
PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di dua lokaliti di Sarawak dan empat lokaliti di Sabah bermula Khamis hingga 16 Jun ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD dilaksanakan di dua lokaliti di Mukah, Sarawak melibatkan Kampung Bunut dan Rumah Panjang Undum Anak Anchih, Sungai Dua kerana dilaporkan berlaku penularan jangkitan dalam komuniti tempatan.
“Sebanyak 29 kes positif direkodkan hasil saringan ke atas 166 orang di Kampung Bunut, manakala di Rumah Panjang Undum Anak Anchih merekodkan 12 kes positif hasil 56 saringan, dengan kadar positiviti 21.43 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan PKPD di tiga lokaliti di Kota Belud, Sabah iaitu di Taman Nikmat,Kampung Pirasan dan Kampung Dundau bermula 3 hingga 14 Jun ini.
Katanya, KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes yang ketara di ketiga-tiga lokaliti apabila terdapat lapan kes positif direkodkan di Taman Nikmat dan Kampung Dundau serta tujuh kes di Kampung Pirasan.
Dalam pada itu, beliau berkata, satu lagi PKPD dilaksanakan di Sabah iaitu Kampung Simpangan, Tuaran yang merekodkan lapan kes positif daripada 10 ujian saringan. – Malaysiapost

