TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan penerbangan mencurigakan 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional semalam.
Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad menerusi kenyataan berkata semua pesawat tersebut dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika antara satu sama lain.
Menurutnya, formasi panjang tersebut juga terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar.
“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara.
“Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang pada ketinggian antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapura FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu FIR.
“Ia seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara,” katanya.
Menurut Ackbal, pesawat Hawk 208 daripada No 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan telah diletakkan dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.
Katanya, pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut di samping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara Kota Kinabalu.
“Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan Kota Kinabalu menghala ke ruang udara nasional, TUDM telah melancarkan pesawat-pesawat pemintas pada jam 1.33 tengah hari untuk melakukan identifikasi visual.
“Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20.
“Pesawat-pesawat jenis ini merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi,” katanya.
Katanya lagi, insiden ini merupakan perkara serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara di dalam laluan penerbangan (Airways) di dalam ruang udara Kota Kinabalu.
“Insiden ini telah dikendalikan oleh TUDM khasnya dan ATM amnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN).
“Kementerian Luar Negeri telah mengambil maklum tentang perkara ini melalui Kementerian Pertahanan,” katanya. – Malaysiapost

