DEWAN Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) mahu Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomik Tambahan (PEMERKASA Plus) ditambahbaik dari segi moratorium bank serta potongan pembayaran elektrik demi kelangsungan rakyat sepanjang sekatan pergerakan penuh.
Ketuanya, Shahir Adnan berkata memandangkan pihak bank mencatat keuntungan tinggi pada suku pertama 2021, institusi perbankan itu boleh meringankan beban rakyat dengan memberi moratorium secara automatik dan tidak terhad kepada golongan B40 sahaja.
“Ramai yang terhimpit dengan desakan hidup, termasuklah golongan M40, terutama di bandar-bandar.
“Golongan usahawan PKS turut memerlukan moratorium pinjaman kerana perniagaan mereka turut terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata penambahbaikan lain yang diharapkan adalah berkenaan diskaun elektrik.
“Ia sepatutnya diberikan kepada rakyat yang melakukan “self-lockdown” di rumah masing-masing.
“Bil elektrik sememangnya akan melambung tinggi kerana penggunaan elektrik yang banyak di rumah.
“Malangnya, diskaun 10 peratus tersebut diberi kepada enam sektor terpilih yang tidak akan dibuka pada waktu PKP ini – Hotel, Taman Tema, Konvensyen, Pusat Beli Belah, Syarikat Penerbangan dan Agensi Pelancongan.
“Apa rasionalnya memberikan diskaun kepada agensi pelancongan yang ditutup waktu PKP?,” soalnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, secara keseluruhan, pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM340 bilion akan memanfaatkan lebih 20 juta isi rumah dan lebih dua juta perniagaan.
“Justeru, DPIM berharap inisiatif ini dapat mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda kerajaan yang prihatin rakyat dan menyokong kelangsungan ekonomi dan perniagaan.
“Bantuan Prihatin Rakyat sebanyak RM2.1 bilion yang akan mula diagih pada akhir Jun diharap dapat meringankan beban rakyat. Namun begitu, alangkah bagus kiranya bantuan tersebut dapat diawalkan sedikit,” katanya.
Selain itu, DPIM meminta rakyat agar bersama kerajaan dalam membendung wabak Covid-19 yang makin mengganas ini.
“Kerajaan pula diharapkan mendengar rintihan dan denyut nadi rakyat agar tiada rakyat kita yang tersisih. Golongan M40, B40 dan PKS memerlukan bantuan daripada kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

