TOHMAHAN pemimpin Armada Bersatu bahawa Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ‘letak otak di lutut’ disifatkan sebagai melulu dan biadap.
Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan menyifatkan kenyataan Exco Armada, Saiful Bahari itu sebagai melampau sedangkan Dr Asyraf hanya meminta penjelasan terperinci daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkaitan sektor perkilangan yang terus beroperasi dalam tempoh sekatan pergerakan penuh.
“Pemimpin Pemuda Bersatu biadap tanpa had apabila menyifatkan Ketua Pemuda Umno “letak otak di lutut” semata-mata kerana menggesa Menteri Kanan Ekonomi tampil ke media menjelaskan lebih terperinci sub-sektor perkilangan yang dibenarkan beroperasi sewaktu “total lockdown” yang bermula hari ini
“Yang kita faham melalui kenyataan media, selain sektor “essential” seperti makanan dan sebagainya, aktiviti berkepentingan dalam rantaian bekalan global juga dibenarkan.
“Tapi tentulah kita berminat tahu perinciannya, contoh apa aktiviti diklasifikasi sebagai berkepentingan dengan rantaian bekalan global?
“Barangkali hampir semua kilang pun ada kepentingan dalam sesuatu rantaian nilai bekalan. Sebab itu namanya kilang,” kata Shahril dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Shahril, gesaan Dr Asyraf itu yang meminta Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tampil muncul di khalayak untuk memberi penjelasan berkaitan sektor perkilangan adalah wajar.
“Minta Menteri Ekonomi muncul di kaca TV wajar kerana terlalu banyak persoalan dan SOP berkaitan sektor dan industri yang selama ini tidak dijelaskan oleh pemimpin yang diamanahkan. Sampai bila nak taichi semua benda yang rumit ke Menteri Keselamatan?
“Kekhuatiran berkenaan kluster kilang adalah benar dan disokong oleh data. Jadi, kalau ada pihak memberi fokus atau mempertikai kelonggaran kepada operasi kilang, itu wajar. Menteri boleh jawab dan jelaskan – perlu buka yang ini atau yang itu demi kepentingan A, B dan C.
“Itu memang antara kerja menteri rasanya. Kerja menjelaskan yang diminta. Ketua Pemuda Umno tidak pun menggelupur minta semua kilang terus ditutup. Kenapa Pemuda Bersatu nak marah sangat?,” selarnya.
Mengulas lanjut, Shahril menjelaskan perkara itu tidak akan timbul jika Parlimen tidak terus dihalang untuk bersidang.
“Ini semua menjadi isu kerana Parlimen tak bersidang. Kalau bersidang, isu ini boleh dibahas, fakta dibentang dan rakyat boleh nilai.
“Jadi kalau tak mahu banyak disoal di media sosial, Pemuda Bersatu mintalah buka Parlimen. Atau mereka anggap semua Ahli Parlimen yang menyoal pun otak di lutut juga?,” katanya.
Sejak negara dilanda pandemik Covid-19, Azmin sebagai menteri paling kanan dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional belum pernah muncul pada sidang media khas yang berkaitan dengan kementeriannya, sebaliknya tugas itu digalas oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku menteri penyelaras Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Untuk info, Ismail Sabri juga menjawat sebagai Menteri Kanan Pertahanan. – Malaysiapost

