KADAR pemberian vaksin harian buat masa ini mencecah 100,000 suntikan sehari dan kerajaan merancang untuk meningkatkan jumlah itu kepada dua kali ganda pada Julai nanti, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) itu berkata lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka termasuk PPV mega yang boleh melaksanakan suntikan pada kadar 5,000 hingga 10,000 suntikan sehari.
“Kita kini telah memasuki tempoh sangat kritikal dalam usaha memerangi Covid-19 dengan jumlah kes sangat membimbangkan, sistem kesihatan semakin tertekan dan cabaran penularan varian baharu yang lebih agresif.
“Kawalan pergerakan pastinya memberi kesan besar kepada ekonomi rakyat. Kawalan pergerakan menyeluruh tidak boleh dilaksanakan berterusan kerana lebih ramai akan hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.
“Mengambil kira keadaan ini pastinya vaksinasi Covid-19 perlu dipercepatkan,” katanya dalam satu rakaman video dikongsi di Facebook Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) hari ini.
Menurutnya, kerajaan telah mengadakan rundingan semula dengan syarikat pembekal agar penghantaran vaksin dipercepatkan.
“Daripada rundingan semula ini, Sinovac akan selesai menghantar keseluruhan tempahan 12 juta dos sebelum akhir Julai. Pfizer pula akan menghantar 25 juta dos dalam suku tahun ketiga.
“Badan Regulatori Farmasi Negara juga sedang giat membuat penilaian ke atas vaksin satu dos daripada Cansino,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sedar ramai bimbang tentang kesesakan di PPV mega dan beliau telah mengarahkan agar prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan lebih ketat dilaksanakan bagi mengelak keadaan sesak ini.
“PPV klinik swasta juga telah mula beroperasi dan jumlah ini akan terus ditambah. Menjelang akhir Jun, kita menyasarkan 1,000 PPV klinik swasta bagi membolehkan akses vaksinasi lebih mudah kepada orang ramai.
“Lebih banyak hospital swasta akan terlibat menjadi PPV dan beberapa PPV pandu lalu juga akan dibuka,” katanya.
Khairy berkata, pasukan jangkauan luar atau ‘mobile outreach team’ juga telah bergerak ke negeri-negeri dan akan digerakkan di pusat jagaan warga emas dan orang kurang upaya (OKU), kampung-kampung, pusat perlindungan gelandangan, kampung Orang Asli serta pedalaman agar tiada tertinggal dalam mendapat perlindungan vaksinasi.
Menurutnya, kerajaan akan memulakan vaksinasi kepada industri dan sektor ekonomi yang perlu terus beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Mereka yang perlu bekerja sepanjang PKP ini perlu divaksinasi agar mereka dan individu di sekeliling terlindung daripada Covid-19.
“Saya sedar kegusaran orang ramai yang masih menunggu giliran vaksinasi mereka. Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) akan berusaha sehabis baik bagi meningkatkan kadar vaksinasi bagi membolehkan seramai mungkin dilindungi, dalam kadar sesegera mungkin,” katanya. – Malaysiapost

