SPRM diminta siasat dakwaan Nazlan – Puad

0
2
Foto Kredit: Minda Rakyat

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat segera dakwaan skandal dalam pentadbiran Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata SPRM perlu menyiasat kenyataan media terbaharu bekas Pengerusi LGM, Datuk Ahmad Nazlan Idris.

Ahmad Nazlan mendakwa wujud skandal dan campur tangan politik dalam pentadbiran syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.

“Dalam kenyataan medianya itu, Nazlan membangkitkan skandal yang melanda LGM.

“Justeru, SPRM perlu siasat segera dakwaan Datuk Nazlan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata Ahmad Nazlan yang juga Ahli Parlimen Jerantut adalah Ahli Parlimen kedua dari Umno yang ditamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi GLC tanpa sebarang sebab.

“Maka bertambah lagi seorang MP Umno yang sepatutnya menarik sokongan terhadap PM 8 (Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin).

“Nazlan ditamatkan sebagai Pengerusi Lembaga Getah Malaysia. Dia tolak jawatan baru sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

“Seperti mana (Datuk Seri) Tajuddin Rahman, Nazlan juga tidak dimaklumkan alasan sebenar kenapa khidmatnya ditamatkan.

“Tetapi Apa pun, diharap Datuk Nazlan jangan tunggu lama-lama. Tarik sahaja sokongan (kepada kerajaan PN),” katanya.

Semalam Ahmad Nazlan menafikan dakwaaan pembabitannya dalam skandal penjualan dua lot tanah milik LGM di Ampang, ketika menjadi pengerusi badan berkanun itu, sebelum ini.

Ahmad Nazlan berkata, ketika memegang jawatan sebagai Pengerusi, Lembaga Pengarah LGM beliau sentiasa mengambil berat isu kegagalan urus tadbir LGM Properties Corporation (LGMPC) iaitu perbadanan milik LGM menyebabkan tiga jawatankuasa ditubuhkan selain tindakan serta langkah penambahbaikan turut dilaksanakan LGM. – Malaysiapost

Foto Kredit: Minda Rakyat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here