PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyambut baik langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak memberi gaji kepada menteri dan timbalan menteri selama tiga bulan, bermula bulan ini.
“Saya juga menyokong sepenuhnya tiga bulan gaji daripada seluruh jemaah menteri dan timbalan menteri digunakan untuk kebaikan dan kebajikan rakyat yang memerlukan.
“Semoga inisiatif yang diumumkan ini akan dapat mengurangkan bebanan dihadapi rakyat semasa kita berada dalam suasana PKP bagi mengawal wabak pandemik Covid-19,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.
Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan barisan jemaah menteri bersetuju untuk tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai bulan ini.
Beliau berkata, gaji yang tidak diambil itu akan disumbangkan ke Akaun Amanah Bencana Negara sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas Bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa) Plus.
Sementara itu Abdul Hadi berkata PAS juga menyambut baik inisiatif diumumkan kerajaan dalam program Pemerkasa Plus.
Katanya program tersebut membuktikan kerajaan sentiasa menjaga kebajikan rakyat yang terkesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.
“Keutamaan kita adalah memastikan supaya sektor kesihatan dapat berfungsi dengan penuh efisien, meneruskan agenda kebajikan rakyat serta menyokong kelangsungan perniagaan,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu turut memaklumkan PAS telah melancarkan kempen Dana Tabung Bencana Covid-19 baru-baru ini.
“Di peringkat PAS, kami melancarkan kempen Kutipan Dana Tabung Bencana Covid-19 bagi membantu rakyat yang terjejas dengan wabak ini.
“Saya menyeru supaya rakyat untuk mendaftarkan diri dan keluarga terdekat untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi mewujudkan imuniti berkelompok,” katanya. – Malaysiapost

