Pimpinan Umno sahut saranan Ismail Sabri

0
1

KEMIMPINAN Umno di peringkat bahagian menyambut baik saranan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar jentera akar umbi turun padang membantu rakyat yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang bermula hari ini.

Serentak saranan itu, Umno Bahagian Shah Alam akan memastikan penduduk Shah Alam yang terkesan ketika sekatan pergerakan atau ‘lockdown’ mendapat bantuan yang sewajarnya.

Ketuanya, Datuk Azhari Shaari berkata menjadi tanggungjawab pemimpin Umno di setiap peringkat terus cakna dan turun padang untuk membantu rakyat yang terkesan dalam tempoh PKP kali ini.

“Sebenarnya bagi Umno Bahagian Shah Alam, ini telah dilakukan sejak PKP 1.0 tahun lalu dan kita masih teruskan sehingga kini.

“Kami menyambut baik saranan itu dan tiada masalah untuk sentiasa membantu penduduk Shah Alam yang terkesan akibat Covid-19 mahu pun pelaksanaan lockdown seperti kehilangan punca pendapatan,” katanya kepada Malaysiapost hari ini.

Bagaimanapun Azhari menjelaskan, modus operandi bantuan yang dihulurkan akan tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Shah Alam ini luas dan ramai penduduk. Jadi kami sentiasa berhubung rapat dengan wakil penduduk setempat untuk mengesan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.

“Biasanya kita beri bantuan dalam bentuk bakul makanan. Pastinya barangan keperluan asas menjadi keutamaan ketika ini. Kita akan menyerahkan kepada wakil penduduk untuk agihkan sumbangan dan bantuan.

“Dalam kita cakna untuk membantu rakyat, pergerakan kita pun kena diminimumkan demi keselamatan kita dan orang lain. Jadi saya harap wakil penduduk dapat bekerjasama membantu kita memastikan bantuan sampai ke sasaran,” katanya.

Sementara itu Ketua Umno Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah pula berkata, pihaknya menggunakan kaedah teknologi terkini untuk memastikan bantuan terus diberi kepada penduduk yang terkesan.

“Kita sambut baik saranan Datuk Seri Ismail Sabri itu. Kita akan pastikan mereka yang dijangkiti Covid-19 dan hilang punca pendapatan terus mendapat bantuan.

“Cumanya pendekatan Umno Bahagian Subang ini lain sedikit. Kita tak mahu orang ramai nampak pemimpin Umno tak ikut arahan duduk di rumah, sering kelihatan turun padang sedangkan kita dalam misi menghulurkan bantuan.

“Jadi untuk mengelak ia terjadi, Umno Subang akan memberi bantuan secara talian. Kita akan tanya dulu sama ada penerima bantuan mahu barangan atau kita beri tunai dia yang beli.

“Biasanya bantuan dalam bentuk bakul makanan, barangan keperluan asas. Cara ini mudah dan dapat mengurangkan risiko semua orang,” katanya.

Semalam, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Keselamatan)meminta seluruh pemimpin Umno di peringkat akar umbi serta jentera supaya turun ke bawah mendengar keluh kesah rakyat yang terkesan akibat PKP penuh.

Beliau berkata jentera Umno di setiap peringkat harus berada dalam keadaan bersiap siaga dan sedia berkhidmat termasuk menyalurkan sumbangan kepada mereka yang terjejas ketika “total lockdown”.

Bagaimanapun beliau mengingatkan dalam melaksanakan tanggungjawab itu, semua pihak perlu memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dijaga dan amalkan kawalan kendiri ketat. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/Azhari Shaari

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here