Agong zahir takziah kepada keluarga Lim Kok Wing

0
1

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga pengasas dan Presiden Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing, Tan Sri Lim Kok Wing yang meninggal dunia hari ini.

Menerusi kenyataan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang dan berharap seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu ini.

“Seri Paduka Baginda amat menghargai khidmat bakti serta jasa mendiang kepada masyarakat dan dunia pendidikan inovatif negara,” katanya.

Mendiang memulakan kerjayanya sebagai kartunis, menghasilkan strip komik terbitan tempatan pertama di Malaysia dan Singapura, ABU, yang ketika itu diterbitkan dalam surat khabar Eastern Sun.

Mendiang kemudian beralih ke bidang pengiklanan, di mana beliau menubuhkan agensinya sendiri, Wings Creative Consultants.

Dalam tempoh kurang tiga tahun, agensi berkenaan mencipta nama sebagai antara agensi utama di negara ini, dan pada 1988, bekerjasama dengan BBDO, salah sebuah agensi kreatif multinasional terbesar di dunia.

Pada 1991, mendiang telah menubuhkan Limkokwing Institute of Creative Technology yang pertama.

Pada 2002, institusi berkenaan menjadi kolej swasta pertama diiktiraf sebagai kolej universiti dan kemudian ditukar nama menjadi Limkokwing University of Creative Technology (LUCT).

Selain kampus utama di Cyberjaya, LUCT turut mempunyai cawangan di Sarawak, Kemboja, Botswana, Sierra Leone dan United Kingdom. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here