Insiden LRT: Prasarana sahkan terima notis tuntutan

0
1

PRASARANA Malaysia Bhd (Prasarana) mengesahkan pihaknya menerima notis tuntutan daripada peguam yang mewakili Wong Chee Foong, seorang daripada penumpang yang terkesan akibat pelanggaran tren sistem transit aliran ringan (LRT), pada 24 Mei lalu.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Norlia Noah berkata, perkara itu akan dikendalikan penasihat undang-undang yang dilantik Prasarana untuk pertimbangan sewajarnya dan tindakan segera.

“Kami menerima notis itu hari ini. Bagaimanapun, kebajikan penumpang kami terus menjadi keutamaan. Prasarana dari sejak mengetahui insiden itu mengambil langkah segera untuk sama ada menghubungi penumpang terbabit atau ahli keluarga mereka.

“Kami memahami Wong kini masih menjalani rawatan di unit rawatan rapi, Hospital Kuala Lumpur. Sumbangan ihsan kepada beliau akan disampaikan sebaik sahaja keadaan sesuai untuk berbuat demikian.

“Kami memberi jaminan perbelanjaan perubatan untuk pembedahan dan rawatan lain di Hospital Kuala Lumpur akan ditanggung sepenuhnya oleh Prasarana dan kami mendoakan supaya Wong segera sembuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norlia berkata, Prasarana sudah mula melakukan pembayaran sumbangan ihsan seperti yang diumumkan semasa sidang akhbar pada 25 Mei lalu.

“Ini merupakan sumbangan ihsan sekali bayar kepada semua 213 penumpang terbabit dan akan dibayar sebaik sahaja butiran penumpang diperoleh dan disahkan. Setakat ini 31 penumpang sudah tampil untuk menerima bantuan itu,” katanya.

Tambahnya, pihaknya juga sudah menghulurkan sumbangan ihsan dalam bentuk bantuan kewangan untuk menampung kos perubatan dan rawatan susulan, selain menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada semua penumpang yang terbabit dalam nahas itu.

Semalam, dilaporkan keluarga mangsa nahas menghantar notis tuntutan kepada Prasarana, meminta pengendali perkhidmatan rel itu membayar RM1.8 juta pampasan dan ganti rugi kecuaian di atas kecederaan yang dialaminya.

Tuntutan berkenaan merangkumi perbelanjaan bagi perubatan, kecederaan fizikal, tekanan mental dan emosi, trauma, kehilangan pendapatan, ganti rugi khas dan am atas kecuaian yang berlaku. – MalaysiaPost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here