KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memaklumkan sebanyak RM6 juta disediakan bagi menjayakan program Hiburan Dari Rumah (HDR) yang dilaksanakan di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, seramai 960 pengiat muzik akan terlibat dalam Program HDR yang dilaksanakan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kali ini.
Jelasnya, ramai penggiat seni muzik akan memperolehi manfaat daripada program HDR yang dilancarkan pada Selasa.
“Mereka (penggiat muzik) ini kalau nak dipecahkan ada 487 penyanyi, 172 pemain gitar, 104 pemain bass, 93 pemain drum, 80 pemain keyboard dan ada 24 dalam beberapa kategori yang lain,” katanya seperti dilapor Astro Awani.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penyerahan surat tawaran Dana Kandungan Digital Muzik (DKD Muzik) Tahun 2021 bagi Program HDR.
Beliau turut menjelaskan pihaknya sedar tidak akan dapat memenuhi semua permintaan, namun sekurang-kurangnya telah memulakan langkah membantu pengiat seni muzik.
“Kita mahu habiskan duit itu secepat mungkin, walaupun kita target untuk sehingga 31 Disember ini, tapi kita jangan tunggu sampai 31 Disember.
“Jadi proses permohonan yang berikutnya itu boleh diteruskan sekarang,” katanya.
Saifuddin berharap, program HDR itu sedikit sebanyak dapat memberi suntikan kepada penggiat seni muzik tanah air. -Malaysiapost

