Perlu kemuka bukti alamat kediaman jika buat pergerakan – polis

0
1
jalan raya sjr sekatan

Nurul Huda Abhar

ORANG ramai yang perlu membuat pergerakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang bermula esok, dikehendaki mengemukakan bukti alamat kediaman ketika melalui pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pembuktian yang perlu dikemukakan sama ada alamat yang tertera di kad pengenalan atau di bil utiliti.

“Individu yang membuat pergerakan perlu mengemukakan bukti kediaman sama ada alamat yang tertera di kad pengenalan atau bagi memudahkan petugas SJR dan orang ramai, kita galakkan bawa bil-bil utiliti bagi sokongan,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.

Acryl Sani juga mengarahkan semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis untuk meneliti lebih mendalam setiap permohonan dan borang kebenaran bergerak yang dikemukakan orang ramai.

Menurutnya, ia termasuk permohonan bagi tujuan mendapatkan kebenaran bergerak atas sebab-sebab kecemasan, majikan, kematian dan lain-lain.

“Justeru saya harap orang ramai harap dapat bagi kerjasama kepada semua petugas di balai polis dan IPD supaya kita dapat mengelak perkara atau isu yang tidak diingini.

“Untuk sektor yang dibenarkan beroperasi boleh merujuk kaedah-kaedah yang perlu dilakukan. Kaedah-kaedah sama seperti sebelum ini bahawa semua perlu dapatkan surat daripada MITI yang baru,” kataya.

Sementara itu, Acryl Sani menegaskan surat kebenaran atas urusan kerja dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum PKP penuh dilaksana sudah tidak sah digunakan.

“Mereka perlu buat surat kebenaran baru bermula 1 Jun,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here