NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta seluruh pemimpin Umno di peringkat akar umbi serta jentera supaya turun ke bawah mendengar keluh kesah rakyat yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan kerajaan yang bermula esok.
Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata jentera Umno di setiap peringkat harus berada dalam keadaan bersiap siaga dan sedia berkhidmat termasuk menyalurkan sumbangan kepada mereka yang terjejas ketika “total lockdown”.
“Umno sememangnya berpegang kepada tradisi membela kebajikan rakyat yang menjadi teras perjuangan sehingga parti keramat ini terus kekal relevan sampai ke hari ini.
“Tradisi membela nasib rakyat perlu terus diperkasakan ketika pandemik Covid-19 ini. Umno perlu menjadi juara membela nasib rakyat.
“Namun dalam melaksanakan tanggungjawab ini, pastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dijaga dan amalkan kawalan kendiri yang ketat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata PKP penuh yang dilaksanakan kerajaan bertujuan membendung dan memutuskan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.
Sehubungan itu, katanya, kerjasama semua pihak amat diperlukan agar mematuhi SOP Covid-19 kerana kitalah yang menjadi penentu kejayaan sama ada penularan wabak ini dapat diputuskan ataupun tidak.
“Dua minggu yang kritikal ini saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya patuh pada SOP yang telah ditetapkan dan duduklah di rumah jika tiada keperluan untuk keluar,” katanya. – Malaysiapost

