BARISAN Nasional (BN) berjanji akan mengembalikan semula dasar dan falsafah yang mengangkat Malaysia sebagai negara yang gemilang suatu ketika dulu, jika dipilih sekali lagi memimpin negara.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar dan falsafah kerajaan BN sebelum ini telah membuktikan acuan dan ramuan terbaik sebuah pentadbiran seimbang dalam mementingkan kemakmuran negara serta rakyat.
“Insya-Allah sejurus BN kembali mentadbir negara apabila tiba masanya nanti, dasar dan falsafah itu kita “restore” semula dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan,” katanya di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kerajaan BN sepanjang era pentadbirannya tidak pernah mengabai kebajikan dan kepentingan rakyat walau apa keadaan sekalipun.
“Menempa pelbagai kejayaan buat negara dalam segenap sektor tanpa sedikit pun berkompromi tentang soal kesejahteraan hidup rakyat.
“Walau apa jua krisis atau ancaman, kerajaan BN mengendalikannya sehabis baik tanpa menggadai kemakmuran rakyat.
“Keseimbangan antara tuntutan negara dan keperluan hidup masyarakat sentiasa menjadi asas pentadbiran kerajaan BN,” katanya.
Menurutnya, meskipun kerajaan BN dahulu sentiasa meletakkan keperluan rakyat diutamakan, namun dasar dan falsafah BN sentiasa memastikan keharmonian pelbagai kaum di negara ini dipelihara selari kemajuan dikecapi Malaysia.
“Kerana itu kerajaan BN pernah memperkenal prinsip “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” dalam pentadbirannya.
“Ia yang merupakan kesinambungan kepada konsep “Cemerlang, Gemilang, Terbilang” sebagai sebuah gagasan kejayaan yang seimbang.
“Bagaimana kerajaan BN mampu mencakna dan menzahirkan falsafah ini? Kerana sentiasa berpegang teguh kepada objektif penubuhan parti BN,” ujarnya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan BN yang berpegang teguh kepada tujuan penubuhannya adalah untuk memupuk dan mengekalkan satu bangsa Malaysia hormoni dan bersatu-padu.
“Berusaha mencapai pembangunan jasmani dan rohani dan mengekalkan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Namun agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana jua dalam Persekutuan.
“Menegak dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negera serta mewujudkan suatu masyarakat yang adil dan saksama.
“Sentiasa berusaha untuk mengeratkan perhubungan dalam kalangan ahli BN kerana tanpa kesatuan yang mantap mustahil keberhasilan itu tercapai,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, segala aspirasi yang diterapkan BN untuk rakyat dan negara musnah pada 2018 kerana dakyah hasutan dan fitnah pihak musuh.
“Dalam masa sama kerajaan BN memelihara semangat demokrasi dalam keadaan apa sekali pun. Demokrasi Berpalimen menjadi tunjang pentadbiran.
“Kerana itu kerajaan BN pada 2018 pernah menegaskan zaman kerajaan betul semua telah berlalu. Era kerajaan tahu semua juga telah berlalu.
“Kerajaan BN perlu mendengar suara, pandangan dan denyut nadi rakyat supaya dapat diharmonikan dengan keperluan negara.
“Malangnya ia telah dikaburi sekabur-kaburnya dalam peperangan persepsi maha hebat oleh musuh politik BN semasa PRU-14,” katanya – Malaysiapost

