Pasukan Liga M boleh berlatih ketika lockdown

0
1

PENGENDALI Liga Malaysia (Liga M), Malaysian Football League (MFL) memaklumkan pasukan yang bersaing dalam Liga M telah mendapat kebenaran kerajaan untuk meneruskan latihan secara Camp-Based Training dalam tempoh sekatan penuh bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

Latihan secara Camp-Based Training itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat ketika pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, pihaknya merakamkan penghargaan atas keprihatinan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengekalkan kelulusan kepada pasukan Liga M meneruskan latihan ketika ‘total lockdown’ fasa pertama ini.

“Saya percaya ia memberi kelegaan buat pasukan dalam membuat persiapan sebelum Liga M kembali bersambung pada Julai disebabkan penglibatan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Terengganu FC (TFC) dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC, selain penglibatan pasukan kebangsaan di Dubai.

“Selain itu, MFL turut mengambil kira kuarantin 14 hari yang perlu dijalankan oleh pasukan terlibat apabila kembali ke ibu negara.

“Bukan itu sahaja, ia pasti banyak membantu pasukan khususnya JDT yang turut akan mengharungi kejohanan ACL bermula 21 Jun manakala KDA dan TFC (Piala AFC) pada 22 Jun 2021,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Ghani berkata demi keselamatan serta kesihatan pegawai dan pemain, hanya latihan pasukan berpusat sahaja dibenarkan bagi fasa pertama PKP ini.

Katanya, lain-lain aktiviti seperti perlawanan persahabatan atau merentas daerah atau negeri tidak dibenarkan sama sekali sehingga diputuskan kelak.

“Sehubungan itu, MFL menggesa semua pasukan agar mematuhi SOP dikuatkuasakan serta memberi kerjasama kepada agensi-agensi kerajaan dan Komisioner Perlawanan dilantik MFL yang ditugaskan untuk memantau pelaksanaan SOP di peringkat pasukan.

“Sebarang kecuaian atau pelanggaran SOP akan mengakibatkan pasukan boleh dikenakan tindakan oleh MFL atau kerajaan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here