PEMUDA Umno menggesa PKR untuk memecat keahlian Iswardy Morni susulan dakwaan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong menerusi video secara langsung di laman YouTubenya, semalam.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kenyataan ahli PKR itu tidak boleh dipandang enteng dan parti itu perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan perkara sama tidak berlaku.
“Sebagaimana yang diperakui sendiri oleh Pengarah Komunikasi parti tersebut, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, tindakan menghina seperti ini bukan kali pertama bahkan Biro Politik itu hanya sekadar beri amaran sahaja kepada Iswardy
sebelum ini.
“Walaupun Pengarah Komunikasi cuba menjarakkan PKR daripada kenyataan menghina tersebut, perbuatan yang berulang kali seperti ini mesti diambil tindakan tegas.
“Justeru, Pemuda Umno menggesa PKR untuk memecat keanggotaan Iswardy sekiranya parti itu benar-benar ikhlas dan serius untuk menzahirkan kekecewaan terhadap tindakan biadab anggotanya yang jelas menghina Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sekali gus membuktikan PKR masih menjunjung tinggi kesetiaan parti kepada tonggak Institusi Raja negara ini,” katanya menerusi Facebook.
Selain itu, beliau turut meminta kerajaan segera mendakwa dan mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan individu terbabit yang menghina institusi raja agar menjadi pengajaran buat semua.
Iswardy sebelum ini memuat naik video secara langsung bertajuk ‘Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun’ di Youtube rasmi miliknya.
Dalam video tersebut, Iswardy mengeluarkan kenyataan kesat terhadap Al-Sultan Abdullah dan mendakwa Yang di-Pertuan Agong seakan-akan tidak bertindak terhadap peningkatan kes Covid-19 di negara ini. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/30/kenyataan-iswardy-didakwa-hina-agong-tidak-mewakili-pkr/

