Gagal cari kerja, pasangan suami isteri merempat tepi jalan

0
1

AHLI Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menghulurkan bantuan kepada pasangan suami isteri yang terpaksa tidur di tepi jalan selepas gagal mencari pekerjaan di Pulau Pinang susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Steven Sim berkata, beliau dimaklumkan pasangan dari Kelantan itu datang ke Pulau Pinang untuk mencari rezeki namun usaha mereka tidak berjaya susulan PKP.

Katanya, bagi meneruskan kehidupan mereka mencari barangan di tempat pembuangan sampah untuk dijual, namun ia tidak mampu menampung kos untuk menyewa rumah.

“Tadi (semalam) selepas dapat info tentang pasangan suami isteri yang tidur di atas jalan, saya terus turun mencari mereka. Dalam suasana PKP dengan wabak Covid-19 melanda, saya tak sanggup mereka tidur walau sesaat lagi dalam keadaan ini.

“Oleh sebab tak dapat cari kerja di Kelantan, Shah dan Siti terpaksa meninggalkan kampung, datang ke Penang untuk mencari peluang pekerjaan.

“Tapi kerana PKP, mereka terpaksa hidup begini. Siang hari mencari barang-barang di tempat pembuangan sampah untuk dijual, malam pula terpaksa tidur di atas jalan,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, beliau bergegas mencari pasangan tersebut bagi membantu mereka dengan memberi tempat tinggal serta pekerjaan.

“Shah dan Siti, deritamu sudah berakhir. Malam ini, tidurlah dengan lena di hotel. Besok kita mulakan kehidupan baru,” katanya.

Terdahulu, Stevan Sim memaklumkan beliau mendapat maklumat daripada penduduk setempat, sepasang suami isteri tidur di atas jalan berdekatan Taman Bidara, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Mengikut orang di sana, mereka sudah tiga hari hidup dalam keadaan begini, makan tak cukup, tidur berbumbungkan langit,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here