10 ditahan terlibat pergaduhan keluarga

0
1

GARA-GARA perselisihan faham dua keluarga, 10 individu ditahan polis selepas terlibat dalam pergaduhan di kawasan lapang Projek Perumahan Rakyat (PRR) Kempas di Johor Bahru, Rabu lalu.

Difahamkan, kejadian pergaduhan menggunakan senjata itu tular dalam media sosial selepas seorang saksi dipercayai penduduk tempatan merakam kejadian menerusi video berdurasi 1 minit 29 saat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Wahid, berkata polis menerima laporan orang awam berkenaan satu pergaduhan melibatkan sekumpulan penduduk pada jam 6.45 petang Rabu lalu.

“Siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku antara dua buah keluarga berpunca daripada masalah peribadi. Kejadian tersebut telah dirakam seseorang yang tidak dikenali dan telah tular dalam media sosial.

“Berdasarkan risikan dan maklumat, polis berjaya menahan 10 suspek berusia antara 12 hingga 45 tahun.

“Kesemua suspek juga sudah diambil tindakan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rupiah berkata, kompaun sudah dikeluarkan terhadap semua suspek di bawah Perkara 16 Peraturan-peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2020.

“Pergaduhan yang berlaku pula sedang disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata,” katanya.

Beliau berkata, polis menanggap kes berkenaan sudah selesai dengan tertangkapnya semua suspek.

“Orang ramai supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sebarang kejadian perlu dilaporkan ke balai berhampiran atau berhubung ke pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menerusi talian 07-556312222,” katanya.

https://www.facebook.com/223545897823128/posts/1903821806462187/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here