KERAJAAN digesa mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 yang kini tidak menunjukkan tanda-tanda ke arah pemulihan meskipun penambahan sekatan ke atas sektor ekonomi dan sosial melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Asean, Datuk Sohaimi Shahadan melahirkan kebimbangan sekiranya negara gagal memutuskan rantaian Covid-19 yang mempunyai kadar penularan lebih cepat hingga boleh mewujudkan jumlah kematian yang tinggi.
“Keadaan sekarang semakin parah. Kerajaan perlu mempercepatkan agihan vaksin Covid-19 ke negeri-negeri. Ekonomi memang akan terjejas teruk jika ‘total lockdown’ dilaksanakan tetapi kesihatan dan nyawa rakyat lebih diutamakan.
“Kerajaan boleh kerjasama dengan hospital swasta dalam agihan vaksin supaya segera diterima oleh rakyat. Jangan dibiarkan kes harian mencecah lima angka, barulah kelam kabut. ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, rungutan ramai yang berhadapan masalah pendaftaran vaksin Covid-19 baru-baru ini menunjukkan tiada persiapan serius dan ketidakcekapan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Kos yang digunakan bagi membangunkan sistem serta laman sesawang ini berjumlah hampir RM70 juta tetapi akhirnya mengecewakan rakyat apabila gagal diakses.
Sepatutnya dengan kos yang begitu besar, tiada masalah yang timbul. Ini menunjukkan PICK tidak sistematik,” katanya.
Sohaimi turut mengulas berhubung sikap tidak bertanggungjawab sebilangan individu yang menyebarkan berita palsu berhubung suntikan vaksin Covid-19 sehingga menimbulkan ketakutan dan was-was kepada rakyat.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu segera menahan individu yang cuba menyebarkan maklumat mengarut berhubung vaksin Covid-19 sehingga mempengaruhi fikiran kononnya vaksin ini membahayakan.
“Rakyat juga harus benar-benar lebih peka dan bertanggungjawab mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya. – Malaysiapost

