Kerajaan umum ‘total lockdown’ mulai 1 hingga 14 Jun

0
1

KERAJAAN akan melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

Perkara itu diputuskan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri petang tadi.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi kenyataan malam ini berkata sepanjang tempoh itu semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurut PMO, keputusan dibuat mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian melebihi 8,000 dan kes aktif melebihi 70,000.

“Setakat hari ini, seramai 2,552 orang
telah meninggal dunia akibat wabak ini dan jumlah kematian semakin meningkat.

Kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan pantas juga mempengaruhi
keputusan hari ini.

“Dengan peningkatan kes-kes harian yang menunjukkan trend kenaikan secara lebih mendadak sejak mutakhir ini, kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19 juga semakin terhad,” kata kenyataan itu.

Menurut PMO, sekiranya lockdown Fasa Pertama berjaya mengurangkan kes harian Covid-19, kerajaan akan melaksanakan lockdown Fasa Kedua, iaitu membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan besar serta boleh
mematuhi penjarakan fizikal.

Lockdown Fasa Kedua itu akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas Fasa Pertama berakhir.

“Setelah berakhirnya lockdown Fasa Kedua, langkah seterusnya ialah memasuki Fasa Ketiga, iaitu melaksanakan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) seperti berkuat kuasa pada masa ini.

“Di mana aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan.

“Bagaimanapun, keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa berikutnya tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Penilaian akan dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk
merawat pesakit Covid-19,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan akan memastikan sistem kesihatan awam di negara ini tidak
akan runtuh dan pelbagai sokongan dan bantuan akan diberi kepada KKM untuk meningkatkan kapasiti hospital di seluruh negara.

Kerajaan juga kata PMO, akan meningkatkan jumlah pemberian vaksin dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam usaha menghasilkan imuniti kelompok di negara ini.

“Susulan keputusan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian Kewangan akan memperincikan
pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.

“Pengumuman mengenai pakej bantuan ini akan dibuat dalam masa terdekat.

“Semua rakyat dinasihatkan untuk terus berdisiplin dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here