Pengusaha, pemandu bas Johor mahu PKP penuh

0
2

PERTUBUHAN Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas (PMPPB) Johor menggesa kerajaan Pusat dan negeri melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bagi menangani penularan Covid-19 dengan lebih berkesan.

Timbalan Pengerusinya, Usman Haron berkata, pelaksanaan PKP yang berterusan menyebabkan industri bas dan pelancongan lumpuh sepenuhnya.

“Justeru, PMPPB Johor menyokong penuh dengan pelaksanaan PKP ‘total lockdown’ kerana PKP ‘separuh masak’ ini tidak mendatangkan apa-apa hasil kepada penurunan kes, malah meningkat hari demi hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, industri bas dan pelancongan lumpuh sepenuhnya sejak Mac 2020 justeru dan pihaknya berpendapat bagi memastikan pandemik Covid-19 ini reda sepenuhnya maka perlu melaksanakan ‘total lockdown’.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan seakan lebih mementingkan sektor ekonomi daripada rakyat yang sedang merana akibat pandemik ini.

“Kami merasakan sekiranya pelaksanaan PKP yang tidak konsisten maka yang akan menerima impak besar adalah golongan M40, B40, industri kecil dan sederhana (IKS) dan yang miskin.

“Pengusaha dan pemandu bas telah kehilangan sumber pendapatan akibat pelaksanaan PKP yang mengehadkan rentas daerah dan rentas negeri.

“Keadaan ini menyebabkan bas-bas tidak dapat beroperasi akibat pergerakan orang ramai yang amat terhad,” katanya.

Tambahnya, pengusaha bas sekolah juga terpaksa menganggur akibat penutupan sekolah, manakala pengusaha bas persiaran dan agensi pelancongan lumpuh sepenuhnya serta pengusaha bas ekspres terpaksa hentikan operasi akibat kurang permintaan.

“Kesan daripada kesemua perkara itu menyebabkan pengusaha bas dan pelancongan menanggung kerugian ratusan ribu malah jutaan akibat tidak beroperasi hampir dua tahun.

“Malah dihimpit dengan tekanan untuk membayar hutang-hutang yang terlibat seperti pinjaman kenderaan, sewa pejabat dan lain-lain.

“Sekiranya PKP diteruskan tanpa satu kawalan yang ketat maka industri bas dan pelancongan akan pupus di negara ini,” jelasnya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Usman Haron/FB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here