NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyokong cadangan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said agar Parlimen kembali dibuka dan bersidang.
Beliau berkata, Parlimen terdesak untuk bersidang dan ia boleh dilakukan dengan selamat secara norma baharu kerana negara sedang berhadapan krisis dan darurat kesihatan yang meruncing ketika ini.
“Yang menariknya, saranan tersebut sehingga ke tahap mencadangkan satu peletakan syarat bahawa usul berkenaan sokongan ke atas Perdana Menteri tidak akan dibawa dan dibahaskan.
“Saya tidak pernah melihat satu keadaan lebih terdesak dan kritikal berbanding sekarang. Saya bersetuju dan menyokong pandangan serta saranan yang beliau kemukakan,” katanya dalam kenyataan.hari ini.
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, tiada tanda-tanda krisis kesihatan akan pulih dengan cepat dan seharusnya Parlimen dibuka untuk membahaskan isu-isu yang melibatkan keselamatan nyawa rakyat dan kesejahteraan negara.
“Negara sedang berhadapan krisis dan darurat kesihatan meruncing, dalam skala yang tidak pernah kita saksikan sebelum ini. Tidak wujud tanda-tanda bahawa keadaan akan pulih dalam masa terdekat.
“Malangnya, Parlimen yang sepatutnya menjadi medium perbahasan dan kerjasama bipartisan boleh pula disekat daripada bersidang. Ini adalah keputusan dan perkara yang bukan sahaja mencemarkan amalan demokrasi, malah meletakkan seluruh negara dalam keadaan berisiko.
“Masa depan, keselamatan dan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan bukanlah sesuatu yang boleh diperjudikan dan ditutup dengan kenyataan muluk-muluk yang dibuat-buat,” katanya.
Sehubungan itu katanya, kerajaan mesti berhenti berhadapan dengan sebarang krisis dengan cara yang boleh meminggirkan amalan demokrasi.
Mohamed Khaled juga percaya semua Ahli Parlimen dapat memberi komitmen dan saranan yang baik ke arah membantu pengurusan krisis ini secara bersama dengan pendekatan yang lebih baik.
Semalam Azalina mencadangkan Dewan Rakyat kembali bersidang kerana ia “satu-satunya cara untuk Malaysia maju ke depan” dalam menangani Covid-19.
Bagaimanapun, bagi mengelak “drama yang tidak diingini”, Ahli Parlimen Pengerang itu mencadangkan supaya tiada usul undi tidak percaya didengar sehingga pandemik berjaya dikawal dan imuniti kelompok mencapai tahap 50 peratus. – Malaysiapost
Foto Kredit: UMNO Online

