ESSCOM serah 8 ahli Abu Sayyaf kepada Filipina

0
2

KAWASAN Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) hari ini menyerahkan lapan individu yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf kepada pihak berkuasa Filipina.

ESSCOM menerusi kenyataan memaklumkan lapan individu itu diserah secara rasmi kepada pihak berkuasa Filipina di perairan antarabangsa berhampiran sempadan Sandakan-Taganak, jam 8.15 pagi tadi.

Majlis berjalan lancar dan harmoni di mana kedua-dua pihak berjanji akan meneruskan kerjasama baik dalam menangani ancaman militan terutama melibatkan kepentingan kedua-dua negara.

Delegasi Malaysia diketuai Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali dan Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman.

Baru-baru ini, pasukan keselamatan menahan lapan ahli kumpulan Abu Sayyaf warga Filipina dalam operasi khas di Taman Sri Arjuna di Beaufort.

Pesuruhjaya Polis Sabah dilaporkan berkata mereka ditahan bersama 29 lagi individu, semuanya warga Filipina dalam operasi di kawasan paya bakau.

Semakan dengan pasukan keselamatan Filipina mengesahkan lapan lelaki itu ahli kumpulan Abu Sayyaf yang melarikan diri ke Sabah hasil operasi pasukan keselamatan Filipina di selatan negara tersebut.

Dua daripada ahli kumpulan Abu Sayyaf itu dinamakan dalam senarai orang dikehendaki kerajaan Filipina.

Siasatan awal mendapati mereka yang ditahan itu tidak terlibat dengan kegiatan menculik untuk wang tebusan di Sabah, sebaliknya mahu menjadikan negeri itu sebagai tempat persembunyian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here