KERAJAAN kini memberi tumpuan dalam mempercepatkan proses pemberian vaksin Covid-19 termasuk dengan menambah lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata tumpuan itu membabitkan pembukaan PPV Industri di kawasan perindustrian seperti kawasan kilang dan perladangan.
“Tumpuan akan diberi kepada pembukaan PPV yang baharu dan meningkatkan tenaga kerja di PPV termasuklah pegawai perubatan dan bukan perubatan yang diperlukan untuk mempercepatkan proses pemberian vaksin.
“Kita juga bincangkan keperluan membuka PPV industri di kawasan perindustrian, kawasan kilang dan perladangan bagi pekerja industri berkenaan.
“PPV industri ini tidak memerlukan pekerja perindustrian dan perladangan itu pergi ke PPV awam yang lain,” katanya dalam sidang media bersama Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Unggah Embas sempena lawatan ke Sarawak hari ini.
Menurutnya, PPV Industri itu akan dibuka di Sarawak dan kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa kerja untuk menyelaras pembukaan PPV-PPV Industri di Sarawak.
Beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), berkata pemberian vaksinasi juga akan ditingkatkan di Sarawak melalui klinik-klinik dan hospital swasta.
“Buat masa ini 23 klinik swasta sudah mula memberi vaksinasi di bawah PICK dengan kos semua ditanggung kerajaan, manakala lima hospital swasta sudah memulakan program pemberian vaksin.
“Kita akan tingkatkan kepada 39 klinik swasta dan tujuh hospital swasta di Sarawak serta jika ada keperluan boleh tambah lagi klinik swasta yang akan terlibat dalam PICK,” katanya.
Menurutnya, kerajaan juga akan menggunakan pasukan unit bergerak untuk ke kawasan pedalaman, rumah panjang dan lain-lain bagi pemberian vaksin kepada penduduk supaya mereka tidak tertinggal menerima vaksinasi Covid-19.
Khairy berkata, pihaknya memberi jaminan Sarawak akan menerima sepenuhnya vaksin untuk 2.2 juta penduduk mengikut sasaran sebelum akhir Ogos ini dengan minggu pertama Jun 380,000 dos vaksin akan dihantar setiap minggu sehinggalah mencapai 4.4 juta dos pada akhir Ogos.
“Saya juga telah mengarahkan di Sarawak kita mengamalkan sistem pendaftaran hybrid di mana sebahagiannya dilaksanakan melalui MySejahtera dan sebahagian lagi secara manual terutama bagi penduduk yang tiada peranti digital dan capaian Internet di luar bandar.
“Harap dengan jaminan yang diberi kepada Sarawak, kita akan dapat lihat ia mencapai sasaran pada akhir Ogos ini dan akan jadi negeri pertama selesaikan PICK,” katanya.
Sementara itu, Unggah berkata dengan jaminan Kerajaan Persekutuan mengenai pembekalan vaksin itu, kerajaan negeri akan berusaha memenangi peperangan menentang Covid-19 dengan memastikan kejayaan pelaksanaan PICK.
“Segala persiapan bagi mencapai sasaran itu sudah dilakukan, ini bermakna petugas di PPV sudah bersedia dan kita mampu beri 50,000 suntikan sehari,” katanya. – Malaysiapost

