24 kluster, 850 positif ingkar SOP sambutan Aidilfitri

0
1
lebuhraya jam kereta jalanraya highway pkp

SIKAP tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) mengakibatkan kes baharu positif Covid-19 hari ini telah mencecah lebih 8,000 kes.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan sebelum ini telah mengeluarkan arahan untuk tidak membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah serta ziarah Aidilfitri.

“Namun masih ada pihak yang ingkar SOP dan akibatnya, sebanyak 24 kluster sambutan Aidilfitri telah direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 27 Mei.

“Secara kumulatifnya, sebanyak 850 kes telah direkodkan daripada kluster ini, manakala seramai 3,309 individu telah menjalani ujian saringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, paling membimbangkan apabila KKM mendapati kebanyakan kes positif dilaporkan melibatkan individu yang tidak bergejala.

“Bagi kluster ini, sebanyak 699 kes tidak bergejala telah dikesan berbanding yang bergejala iaitu 151 kes.

“Data daripada KKM menunjukkan kluster sambutan Aidilfitri paling tinggi direkodkan di Tumpat, Kelantan iaitu 224 kes dan Kluster Simpang Sahari di Labuan merekodkan 123 kes.

“Justeru, saya amat berharap rakyat terus patuhi SOP memandangkan kes positif semakin meningkat naik dan hari ini ia telah mencecah lebih 8,000 kes,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan seramai 581 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP.

“Daripada jumlah itu, seramai 574 individu dikompaun, enam direman, manakala seorang dijamin.

“Kesalahan direkodkan adalah tidak pakai pelitup muka (191), gagal rekod butiran diri (119), tiada penjarakan fizikal (89), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (67), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (53) dan lain-lain (62),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here