JABATAN Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menafikan berlaku gempa bumi di Gua Musang, Kelantan, semalam.
Ketua Pengarah MET Malaysia, Jailan Simon dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mendapat maklumat berkenaan penularan mesej mengenai insiden itu malam tadi.
Bagaimanapun, katanya, Met Malaysia telah mengesan gempa bumi sebenar yang berlaku di utara Sumatera di Indonesia, dengan magnitud 4.6 skala Richter pada jam 9.38 malam semalam.
“Mesej tular itu tersebar luas melalui sebuah laman sesawang yang memaparkan maklumat gempa bumi itu dikeluarkan oleh agensi luar negara.
“Namun, MET Malaysia menafikan kejadian itu berlaku di Malaysia dan mengesan gempa bumi sebenarnya berlaku di utara Sumatera, Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, MET Malaysia menasihatkan orang ramai lebih berhati-hari dalam menyebarkan sebarang informasi atau video berkenaan gempa bumi atau tsunami.
“Sila dapatkan maklumat gempa bumi atau tsunami terkini melalui laman web MET Malaysia atau www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, laman sosial rasmi MET Malaysia serta Hotline di talian 1-300-22-1636,” katanya.
Terdahulu, tular di laman sosial maklumat berkaitan kejadian gempap bumi bermagnitud 5.1 skala Richter pada 9.37 malam tadi yang didakwa berlaku di Gua Musang, 59 Kilometer (km) dari Ipoh, Perak. – Malaysiapost

