Azalina cadang ‘kerajaan darurat sementara’ semua parti

0
1

TIMBALAN Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan Dewan Rakyat kembali bersidang kerana ia “satu-satunya cara untuk Malaysia maju ke depan” dalam menangani Covid-19.

Bagaimanapun, bagi mengelak “drama yang tidak diingini”, Ahli Parlimen Pengerang itu mencadangkan supaya tiada usul undi tidak percaya didengar sehingga pandemik berjaya dikawal dan imuniti kelompok mencapai tahap 50 peratus.

“Tiada pilihan raya umum patut diadakan, sebaliknya kerajaan darurat sementara dengan Kabinet darurat harus dibentuk, dengan wakil-wakil daripada seluruh parti politik,” katanya dalam kenyataan bertajuk “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Azalina berkata, untuk menguatkuasakan syarat korum bagi prosiding Parlimen, Dewan Rakyat dan Dewan Negara cukup besar bagi memastikan penjarakan fizikal.

Pada 24 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Azlina berkata persidangan Parlimen boleh juga diadakan secara maya melalui teknologi yang ada.

“Untuk memastikan proses persidangan Parlimen yang efisien, labur dalam mempersiapkan Parlimen maya dan ucapan ke sistem teks. Ia bukan mahal, malah Zoom menyediakan pilihan mengundi untuk memudahkan proses pengundian (di Parlimen).

“Dan saya dengan senang hati menggunakan fungsi senyap (mute) untuk menghentikan kesalahan Ahli Parlimen yang terlalu banyak bercakap,” katanya.

Selain itu Azlina berkata, jurang ideologi politik dan Ahli Parlimen harus ditamatkan dan mereka perlu bekerjasama sebagai satu “Team Malaysia”.

Katanya, semua Ahli Parlimen perlu dilengkapkan dengan pengetahuan berhubung Covid-19 bagi meningkatkan kesedaran kepada rakyat.

“Bekerja sebagai satu ‘Team Malaysia’ untuk mengurangkan ‘krisis keyakinan’ yang mengaburkan negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here