KL mula program pemberian vaksin di luar PPV

0
1

LEBIH 80 peratus penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dijangka divaksinasi dengan vaksin Covid-19 menjelang penghujung Oktober ini melalui program tambahan yang dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata pihaknya sedang menjalankan projek perintis pemberian vaksin di luar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) melalui Unit Bergerak atau ‘Mobile Vaccine Truck@MyMedic’.

Ia dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Menurutnya, ia adalah program yang pertama dibuat di luar daripada PPV sedia ada dengan menggunakan konsep ‘mobile’ atau unit bergerak.

“Kita mulakan dengan tiga unit bergerak dan kemudian kita akan tambah selepas tempoh sebulan apabila sistem sudah lebih teratur.

“Saya juga sedang berunding dengan satu klinik swasta untuk dapatkan lagi tujuh unit bergerak dan dijangka akan ada 14 keseluruhannya,” katanya selepas meninjau proses pemberian vaksin oleh unit bergerak terbabit kepada golongan gelandangan di Anjung Kelana, hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga akan menentukan jumlah vaksin yang boleh dibawa dengan unit bergerak terbabit dan menyasarkan sekurang-kurangnya 300 dos bagi setiap unit.

“Kita akan cuba selaraskan jadual kesemua 14 unit bergerak ini dan harap dapat buat pemberian vaksin purata 300 dos sehari bagi setiap unit, maka kita boleh buat 4,000 hingga 5,000 dos sehari.

“Namun apa yang penting bagaimana nak permudahkan lagi termasuk dari segi pendaftaran membabitkan penduduk seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) terutamanya, yang ramai lagu golongan warga emas yang tidak mendaftar,” katanya.

Annuar berkata, bagi mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang hujung Oktober ini dengan lebih 80 peratus sudah divaksinasi, memerlukan sekurang-kurangnya 30 peratus warga Kuala Lumpur divaksin setiap bulan.

“Ini bermakna kita ada tempoh empat bulan. Kita juga terima maklumat yang golongan berusia 12 hingga 18 tahun akan boleh mendaftar untuk terima vaksin.

“Kita harap menjelang 31 Ogos kita dapat capai sasaran 30 peratus, maknanya lebih kurang 30 peratus sebulan di mana sekarang hanya 30 peratus dalam tempoh dua bulan,” katanya.

Beliau berkata, perlu ada usaha sedemikian untuk mencapai sasaran berkenaan yang tidak cukup dengan PPV sedia ada.

“Wilayah Persekutuan juga akan memulakan program vaksin di klinik swasta dan setakat ini lebih 60 klinik sudah memohon dan 29 telah diluluskan.

“Saya harap sekurang-kurangnya 100 klinik swasta sertai program tambahan ini mulai bulan Jun,” katanya yang turut berterima kasih kepada KKM dan MOSTI yang menerima inisiatif itu.

Sementara itu, Annuar berkata dalam program pemberian vaksin Covid-19 di pusat penempatan gelandangan di Anjung Kelana hari ini, seramai 119 gelandangan dijangka menerima vaksin namun terdapat beberapa yang enggan menerimanya.

“Kita akan cuba memujuk mereka, kerana program pemberian vaksin ini adalah dasar yang tidak wajib dan kita tidak mahu memaksa mereka.

“Ini kumpulan pertama dan kita ada lagi 135 gelandangan yang dua hari lalu kita selamatkan di sekitar Kuala Lumpur di mana mereka kini menjalani tempoh kuarantin 14 hari dan kita akan sambung beri vaksin kepada mereka dalam fasa kedua kelak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here