Rakyat semangat dapatkan vaksin, jangan lunturkan semangat mereka – Zahid

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memujuk sesiapa yang tidak berjaya untuk membuat tempahan temu janji slot kedua vaksin AstraZeneca agar jangan patah hati dan teruskan usaha mendapatkan vaksin Covid-19.

Ia berhubung kait dengan masalah yang timbul ketika permohonan vaksin tersebut mula dibuka jam 12.15 tengah hari tadi, apabila ramai yang tidak dapat mengakses laman sesawang itu, dan ada juga tidak dapat meneruskan permohanan ekoran gagal menekan butang pengesahan negeri dan ‘bukan robot’.

“Saya menasihati rakan-rakan semua jangan ‘merajuk’. Jangan ‘patah hati’ dan putus asa untuk terus mahu mendapatkan suntikan vaksin pula.

“Kita tunggu penjelasan atau perutusan ruang bicara khas kerajaan. Semoga ada penyelesaian secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, media sosial kini dihujani rungutan mengenai kesulitan pendaftaran secara dalam talian, bagi mendapatkan tempahan temu janji slot kedua vaksin AstraZeneca.

“Ada yang terpaksa mengaku diri bukan robot sehingga berpuluh kali sejak pukul 12 tengah hari, tetapi masih gagal membuat pendaftaran.

“Ada yang tidak dapat memilih negeri. Paling teruk ada yang langsung tidak dapat akses kepada pendaftaran dalam talian tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid menggesa agar perkara tersebut diatasi segera agar proses permohonan slot temu janji vaksin selepas ini bertambah baik.

“Perkara ini perlu diatasi segera. Dalam keadaan rakyat bersemangat mendapatkan vaksin Covid-19, jangan lunturkan semangat mereka.

“Pada waktu rakyat digesa demi gesaan supaya mendapatkan AstraZeneca suntikan, permasalahan seperti ini sama sekali tidak membantu,” ujarnya.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) hari ini memaklumkan melalui laman Twitter, lebih 300,000 tempahan janji temu vaksin AstraZeneca pusingan kedua telah dibuat, setakat kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi.

Kira-kira jam 1.20 tengah hari tadi, semakan mendapati sistem tempahan itu ditutup.

Berikutan itu, tular di media sosial netizen menyuarakan masalah yang sama iaitu tidak boleh mengakses laman terbabit dan sukar untuk menekan butang pilihan negeri, menyebabkan slot tempahan sudah penuh. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here