Malaysia dalam gelombang ketiga, kes harian lebih 7,000

0
1

MALAYSIA sedang berhadapan dengan gelombang ketiga dan fenomena itu amat membimbangkan sehingga semalam, tercatat satu lagi angka tertinggi melebihi 7,000 kes.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada ketika ini, kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt/Ro) negara telah meningkat ke paras 1.21 berbanding 0.8 yang pernah direkodkan pada pertengahan April 2021.

“Kemunculan varian-varian baru dan lebih agresif terutamanya Variants of Concerns (VOC) di negara ini juga merupakan satu perkembangan yang merisaukan.

“Peningkatan kes harian bukan sahaja berlaku di Malaysia malah beberapa negara jiran seperti Thailand yang pernah menjadi role model kepada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) juga telah merekodkan kes harian yang tinggi melebihi 9,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, dari segi bilangan kluster, setakat 20 Mei lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merekodkan 1,966 keseluruhan kluster sejak pandemik ini melanda negara kita.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, terdapat 528 kluster aktif manakala 1,438 lagi kluster diisytiharkan tamat.

“Namun begitu, kluster rentas negeri terus merekodkan peningkatan sepanjang April hingga Mei 2021.

“Dalam tempoh ini sahaja, sebanyak 19 kluster dilaporkan daripada keseluruhan 50 kluster yang direkodkan akibat rentas negeri yang melibatkan 6,291 kes,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here