Polis nafi sekeluarga maut ketika kuarantin

0
1

POLIS menafikan berlaku kejadian sebuah keluarga meninggal dunia kerana dijangkiti Covid-19 di Taman Merdeka, Batu Berendam, Melaka seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung insiden itu dan memberi amaran kepada pihak yang menyebarkan berita palsu sehingga boleh mengganggu-gugat keharmonian masyarakat, selain menimbulkan suasana panik ketika orang ramai berdepan pandemik Covid-19.

“Tidak ada kes yang dilaporkan di daerah ini dan saya menasihatkan orang ramai supaya menghentikan penyebaran berita palsu, malah polis tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkannya,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Terdahulu, sebuah video berdurasi 20 saat tular diaplikasi WhatsApp merakamkan beberapa individu memakai set pelindung diri (PPE) mengusung mayat dari sebuah rumah ke trak polis.

Video pendek itu didakwa berlaku di Taman Merdeka, Batu Berendam membabitkan sebuah keluarga yang mati ketika menjalani perintah kuarantin di rumah dan didakwa tidak menghadiri sesi janji temu untuk membuat ujian saringan dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

Jelas Afzanizar, menyebarkan berita palsu merupakan satu kesalahan dan mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang jika disabit kesalahan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here