DEWAN Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) mendakwa sistem pendaftaran vaksin AstraZeneca secara atas talian mempunyai terlalu banyak kecacatan walaupun kos pembangunan sistem tersebut sekitar RM70 juta.
Ketuanya, Shahir Adnan berkata, peruntukan itu melibatkan Integrasi Data dan Sistem Janji Temu dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dijelaskan sebelum ini antara lain bagi memudahkan proses pendaftaran penerima vaksin.
Menurutnya, Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar perlu memberikan penjelasan kepada sistem berkenaan yang sangat tidak mesra pengguna dan terkebelakang, umpama sistem lapuk Windows era 90an.
“DPIM mendapati ramai pengguna terpaksa menekan butang pengesahan ‘bukan robot’ berpuluh kali ketika mahu membuat pendaftaran. Ada juga yang telah dilarang atau ‘block’ daripada laman sesawang tersebut secara tiba-tiba.
“Ramai anak muda yang terpaksa memilih setiap hari dan menghantar pendaftaran secara satu-satu untuk tempoh Jun dan Julai kerana sistem yang tidak efisen. Malangnya, walaupun telah mencuba nasib untuk memilih setiap hari selama berpuluh-puluh hari, pendaftaran masih gagal.
“Bayangkan betapa hampanya ramai anak muda yang gagal mendaftar kerana sistem tidak efisen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahir berkata, hampir satu jam anak muda mencuba nasib untuk membuat permohonan temu janji slot AstraZeneca, malangnya masih tidak dapat mendaftar kerana masalah sistem pendaftaran.
Beliau berkata, sekiranya sejuta anak muda meluangkan masa selama satu jam dari jam 12 tengah hari tadi untuk mendaftar, maka kerajaan telah membazirkan masa ‘1 million manhour’ anak muda hari ini.
“Walaupun begitu, DPIM mengucapkan tahniah atas semangat anak muda yang mahu divaksin dek pandemik yang makin mengganas.
“Kita juga berharap rakyat Malaysia di negeri lain mengambil vaksin seperti yang ditetapkan agar pandemik ini dapat dibendung dengan segera,” ujarnya.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan melalui laman Twitter, lebih 300,000 tempahan janji temu vaksin AstraZeneca pusingan kedua telah dibuat setakat jam 12.50 tengah hari tadi.
Kira-kira jam 1.20 tengah hari, semakan mendapati sistem tempahan itu ditutup.
Berikutan itu, tular di media sosial netizen menyuarakan masalah yang sama iaitu tidak boleh mengakses laman terbabit dan sukar untuk menekan butang pilihan negeri, menyebabkan slot tempahan sudah penuh. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

